Petua khatam Quran dan keistimewaan membacanya di bulan Ramadan

Al-Quran Siti Suriani Othman
Siti Suriani Othman
Petua khatam Quran dan keistimewaan membacanya di bulan Ramadan
Petua khatam Quran dan keistimewaan membacanya di bulan Ramadan © Odua | Dreamstime.com

Artikel ini akan membincangkan tentang keistimewaan membaca al-Quran di bulan Ramadan. Juga, beberapa petua untuk istiqamah membaca al-Quran pada bulan Ramadan dan khatam Quran pada bulan mulia ini.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang membaca satu huruf dari al-Quran maka baginya mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan tersebut dilipat-gandakan menjadi sepuluh kalinya.”

Istimewanya membaca al-Quran pada bulan Ramadan

Nyata, Allah Taala menjanjikan ganjaran pahala yang berganda-ganda bagi umat Islam yang membaca al-Quran pada bulan Ramadan. Hal yang sama turut disebut oleh Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran maka ia akan mendapat satu kebaikan dan dari satu kebaikan itu berlipat menjadi sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan alif lam mim sebagai satu huruf. Akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Rumah-rumah mereka yang banyak membaca al-Quran disimbah nur dan terang-benderang. Ini disebut Imam an Nawawi: “Dalam hadis ini terdapat anjuran untuk (banyak) berzikir kepada Allah SWT (termasuk membaca Al Quran dan zikir-zikir lainnya) di rumah dan hendaknya rumah jangan dikosongkan dari berzikir (kepada-Nya).”

Dalam riwayat at-Tirmidzi juga terdapat sebuah hadis yang berbunyi:

“Sesungguhnya setan tidak akan masuk ke rumah yang dibaca di dalamnya surat al-Baqarah.”

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya setan itu adalah musuh yang nyata bagimu, maka jadikanlah ia musuh(mu), karena sesungguhnya setan-setan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.”

(Quran surah Faathir, ayat 6)

Seperti hadis yang menyatakan:

“Bacalah bait al-Quran, karena sesungguhnya pada hari kiamat nanti akan datang memberikan syafaat yang baik kepada pembacanya,”

(Hadis riwayat Muslim)

Petua khatam al-Quran dalam bulan Ramadan

1. Fahamilah ‘matematik’nya untuk khatam Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran ada 604 muka surat dan jika menyasarkan untuk khatam sebanyak sekali dalam bulan Ramadan, bolehlah membaca 4 halaman setiap lepas waktu solat. Ini bermakna, jumlah halaman dibaca ialah 20 muka setiap hari. Darabkan kiraannya jika hendak khatam lebih daripada sekali.

2. Letakkanlah sasaran yang sesuai dengan kemampuan diri. Jangan menyasarkan untuk khatam sebanyak lima kali tetapi tidak mampu dan akhirnya tertekan.

3. Mulalah membaca Quran seawal satu Ramadan. Jangan bermula lambat kerana ini akan menyulitkan diri, akan terkejar-kejar untuk menghabiskan bacaan dan akhirnya mengurangkan kualiti bacaan.

4. Selain itu, sediakan waktu khusus untuk membaca al-Quran dan tetapkanlah masa itu sepanjang sebulan dan diikuti dengan sistematik.