Petua menyimpan wang

Kehidupan Chan Abdullah 08-Jul-2020
Perkongsian cara menyimpan wang © Somakram | Dreamstime.com

Mempunyai simpanan sendiri sangat membantu untuk kita mencapai tahap kewangan yang stabil. Namun, ramai di antara kita yang kecundang menguruskan kewangan sendiri lantas gagal untuk mempunyai simpanan. Bukan satu perkara yang mudah untuk konsisten membuat simpanan. Namun, jika kita meletakkan satu matlamat yang kukuh untuk dicapai ianya bukanlah sesuatu yang mustahil.

Sepanjang enam bulan bermula April 2020, sedikit sebanyak ramai masyarakat yang boleh menarik nafas lega ekoran penguatkuasaan penangguhan pembayaran beberapa jenis pinjaman di bank. Berbaki tiga bulan lagi sebelum pembayaran pinjaman dengan bank bersambung semula seperti biasa.

Masa ini, mungkin ramai yang terjejas akibat kesan kegawatan ekonomi dek kerana serangan wabak pandemik. Mahu atau tidak, terpaksa bersedia bagi mengelakkan berlakunya masalah dengan pihak bank di kemudian hari. Sedikit sebanyak wang daripada pengangguhan pembayaran pinjaman boleh disimpan untuk kegunaan masa akan datang.

Memang susah untuk menyimpan. Di masa senang pun susah apatah lagi di masa kesusahan. Berikut merupakan beberapa petua yang boleh dilakukan untuk membantu  anda menyimpan wang.

Menanam azam dan displin yang tinggi

Pertama sekali kita perlu meletakkan matlamat utama kita untuk menyimpan. Matlamat ini akan menjadi kayu ukur kepada kejayaan kita ketika membuat tabungan simpanan. Bagi mencapai matlamat tersebut, kita perlu mendidik diri sendiri untuk sentiasa berdisiplin. Disiplin yang tinggi mampu mempercepatkan tempoh untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Potong kad kredit

Salah satu faktor kita gagal membuat simpanan adalah kad kredit. Kadang kala kita menggunakan kad kredit untuk membeli benda yang di luar kemampuan kewangan kita. Akhirnya pendapatn setiap bulan terpaksa diperuntukkan untuk membayar bayaran minima dan caj faedah kad kredit. Bahaya kad kredit kerana kita membelanjakan duit yang kita masih belum ada.

Simpan semua jenis duit kertas dan syiling

Dalam bab menyimpan, anda perlu bijak menyimpan semua jenis duit termasuk duit kertas mahupun syilling. Dari sekecil-kecil jumlah hinggalah ke jumlah yang besar. Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.’ Walaupun jumlahnya kecil, tetapi jika dikumpul sehingga banyak ia dapat menghasilkan jumlah yang besar.

Simpan dahulu baru belanja

Masih ramai yang membelanjakan dahulu duit yang ada kemudian baru diletakkan kedalam simpanan. Cara sebaiknya, letakkan duit yang ada di tempat simpanan dan barulah digunakan untuk berbelanja. Sekiranya kita berbelanja dahulu, kita mungkin boleh terlebih berbelanja dan ini menyebabkan kita terpaksa mengurangkan jumlah simpanan yang sepatutnya.

Tetapkan tempoh masa simpanan

Sebagai contoh, jika anda menetapkan untuk membuat simpanan selama 2 tahun bagi mencapai matlamat anda, maka sepanjang 2 tahun itu anda tidak boleh mengira seberapa banyak jumlah simpanan. Setelah tamat tempoh 2 tahun, barulah anda dibolehkan kira jumlah simpanan. Namun cara ini boleh dilakukan sekiranya anda membuat simpanan secara konsisten pada setiap masa.

Benar, masa ini masa yang mencabar. Bukan sekadar rakyat biasa yang menghadapi cabaran kewangan, namun syarikat-syarikat besar juga mengalami kegawatan. Mungkin inilah masanya untuk kita mula belajar menyimpan. Berakit-rakit ke hulu, mendayung-dayung atas sampan, bersakit-sakit dahulu agar tidak susah di masa hadapan.