Petunjuk Allah SWT ke arah kebenaran

Hidayah milik Tuhan © Ilkin Guliyev | Dreamstime.com

Hidayah dari segi istilah bererti petunjuk Allah SWT ke arah kebenaran.  Manakala dari segi bahasa ialah petunjuk atau hadiah, iaitu lawan kepada sesat atau kesesatan. Allah menganugerahkan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya agar beriman dan mentaati perintah-Nya.

Ibnu Qayyim al-Jauziyah rahimahullah berkata bahawa hidayah ialah mengetahui kebenaran dan mengutamakannya daripada yang lain.

Kita sedar bahawa kehidupan di dunia ini penuh dengan cabaran terutama dalam era globalisasi, dunia menjadi sebuah perkampungan yang sangat kecil.  Dalam kepesatan dan kemodenan manusia mencipta pelbagai peranti canggih sehingga melalaikan kita sebagai seorang Muslim.

Kita dilahirkan, membesar sebagai kanak-kanak yang comel, menjadi remaja berwawasan, kemudian meningkat dewasa dan membina kerjaya.  Kita berkeinginan berumahtangga dan membina keluarga, melahirkan zuriat sehingga menginjak ke usia tua.  Proses ini tidak pernah berhenti sehingga kita dipanggil ke negeri abadi.

Dalam proses yang panjang itu, kita terkadang sesat dan alpa untuk melaksana tugas dan tanggungjawab utama sebagai khalifah di muka bumi ini.  Khalifah adalah satu keistimewaan besar yang hanya diberikan kepada manusia dan tidak diberikan kepada malaikat, jauh sekali untuk diberikan kepada jin.

Sebagai khalifah, kita dipilih untuk mentadbir, mengurus dan memulihara serta memakmurkan alam ini dengan menggunakan nikmat Allah SWT dengan sebaik-baiknya.  Untuk melaksana amanah ini, kita memerlukan ilmu sebagai panduan dan penghubung dengan Yang Maha Pencipta.

Sebagaimana Allah SWT menyebut dalam al-Quran, bahawa al-Quran adalah sumber utama hidayah.  Kita tidak akan tersesat selagi mana menjadikan al-Quran dan sunah sebagai panduan dan rujukan.

Al-Quran bukan sahaja diturunkan untuk dijadikan kitab bacaan dan hafalan semata-mata. Sebaliknya untuk kita sebagai manusia berpandu kepada dasar dan nilai yang terkandung di dalamnya.

“Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang kesempurnaannya), ia pula menjadi hidayah bagi orang-orang yang hendak bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Berbahagialah insan yang terpilih yang dikurnia Allah SWT dengan taufik dan hidayah.  Ia adalah rahmat kehidupan yang tidak ternilai. Apabila rahmat Allah menyelubungi kita, tanpa sedar kita punya banyak waktu untuk menyempurnakan tanggungjawab mengikut tuntutan agama.

Dalam kesibukan mengejar hal-hal keduniaan, kita masih sempat berulang alik ke masjid, membaca satu dua muka al-Quran dan berbakti kepada ibu bapa.  Menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat di sekeliling, menyertai program setempat, bersilaturahim, menziarahi orang yang sakit dan kematian.

Apabila kita diberikan hidayah, perkara sukar sekalipun akan menjadi ringan.  Kita harus bersyukur kerana dibukakan mata hati, diberikan kekuatan fizikal dan mental untuk menyempurna tugas dengan sebaiknya.

Inilah yang kita mahukan iaitu keredaan Allah SWT.  Kita membina kehidupan ini di atas landasan siratal mustakim dan bukan jalan yang dimurkai-Nya.  Semoga kita istiqamah menunaikan tanggungjawab kepada Allah sekali gus menambah petunjuknya kepada kita.

“Dan orang yang mendapat petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan mereka.”  (Surah Muhammad, ayat 17)