Pilihan raya kecil Kimanis bakal tampil muka-muka baru

Iman MAS 30-Dis-2019
Bendera Sabah
© Lionel Jusin | Dreamstime.com

Pemilihan calon untuk pilihan raya kecil Kimanis bakal menyaksikan parti-parti bertanding membuat kejutan pada saat akhir dengan menampilkan muka-muka baru. Kedua-dua parti berkenaan; Parti Warisan Sabah dan UMNO Sabah sedang giat mempertimbangkan keputusan untuk pemilihan calon. Keputusan berkenaan mungkin diambil disebabkan maklum balas daripada golongan akar umbi, menjelang pencalonan pada 4 Januari.

UMNO Sabah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional dan Warisan, difahamkan bakal meletakkan calon bukan politikus seperti bekas atau kakitangan awam semasa. Setakat ini, Warisan dilihat berkemungkinan besar mencalonkan Datuk Karim Bujang. Beliau telah berjaya memfailkan petisyen pilihan raya terhadap kemenangan Datuk Seri Anifah Aman, yang memaksa pilihan raya kecil tersebut. Namun, sesetengah orang dalaman parti mengatakan mereka juga sedang meneliti pemimpin tempatan yang lain sebagai bakal calon.

UMNO Sabah akan mengumumkan calon mereka pada hari Rabu menurut Datuk Seri Bung Moktar Radin. Ketua UMNO Sabah itu enggan memberikan sebarang petanda mengenai bakal calon termasuk komen tentang bekas ADUN Bongowan, Datuk Mohamad Alamin.

Penganalisis politik, Dr Arnold Puyok menyifatkan pemilihan calon pilihanraya kecil berkenaan dilihat sangat penting dan bakal menentukan masa hadapan parti bertanding. Kedua-dua Warisan dan UMNO disifatkan memiliki 50-50 peluang untuk menang. Kerajaan negeri diketuai Warisan dan Pakatan Harapan dilihat perlu menghentikan tren kemenangan Barisan di Semenanjung. Perkara ini merupakan satu tugas yang sukar buat Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.

Warisan terpaksa berhadapan persoalan Pas Sementara Sabah (PSS) serta menjawab kritikan tentang janji pilihan raya Pakatan. Pengundi jelas tidak berpuas hati dengan kedua-dua isu berkenaan. Oleh yang demikian, pemilihan calon yang tepat adalah penting untuk kedua-dua belah pihak.

Selepas mengambil alih kuasa, Warisan masih belum membuktikan parti itu mampu mentadbir dengan baik. Ketiadaan visi dan rancangan jangka panjang untuk Sabah juga boleh menjejaskan peluang kemenangan parti tersebut. Pembangkang perlu menggunakan isu-isu tersebut untuk meningkatkan peluang mereka, tambah beliau.