Pisang kaedah tradisional merawat wajah

Suka Hanita Hassan 22-Ogo-2020
Pisang kaedah tradisional merawat wajah © Kazmulka | Dreamstime.com

Wanita sentiasa menitikberat akan kecantikan wajah.  Kalau dahulu sebelum penularan pandemik COVID-19, anda boleh berkunjung ke pusat rawatan kecantikan atau spa bila-bila masa sahaja.  Namun hari ini ramai yang terpaksa membiasakan diri merawat wajah  di rumah demi menjaga keselamatan.

Tidak kira usia remaja, pertengahan atau sudah memasuki usia emas, wanita akan memastikan wajah dan kulit mukanya sentiasa bersih, anjal dan berseri tanpa sebarang cela. Untuk itu, penjagaan rapi ke atas kulit wajah perlu dilakukan setiap hari sejak usia remaja.

Banyak produk kecantikan ditawarkan oleh jenama besar bagi merawat wajah. Namun tahukah anda bahawa pisang juga boleh digunakan untuk menjadikan wajah kelihatan berseri.   Khasiatnya yang pelbagai seperti vitamin B, C, B6, magnesium, zat besi dan kalsium, terbukti dapat membantu proses merawat wajah secara semula jadi.

Kulit berminyak boleh diatasi dengan menggunakan kaedah masker pisang.  Anda hanya perlu menghancurkan pisang yang masak ranum.  Kemudian campurkan ia dengan satu sudu madu dan setengah sudu teh jus lemon. Sapu di wajah dan biarkan seketika.  Kemudian bersihkan dengan kain basah atau air sejuk.

Bagi  yang mempunyai masalah sel mati pada permukaan kulit, campurkan pisang yang telah dilenyek dengan minyak kelapa dan oat.  Oat mempunyai tekstur kasar yang mampu menanggalkan sel kulit mati. Kandungan air sehingga 75% di dalam pisang mampu mengatasi dehidrasi sekali gus menyihatkan kulit anda.

Pisang juga boleh merawat jerawat. Caranya dengan mengisar pisang masak dan melumurkan ke wajah.  Biarkan seketika sebelum dibilas bersih.  Ulangi proses ini selama beberapa hari sehingga jerawat kering.  Selain buah pisang, bahagian dalam kulit pisang juga berkasiat.  Ia mampu menyejuk dan mengurangkan kemerahan serta bengkak pada mata. Anda hanya perlu meletakkan kulit pisang ke atas kelopak mata  selama 10 hingga 15 minit. Kemudian bilas dengan air sejuk.

Kulit pisang juga boleh digunakan untuk mencerahkan wajah. Anda hanya perlu menggosokkan kulit pisang ke seluruh wajah.  Ulangi proses ini selama sebulan untuk kesan yang lebih baik. Selain itu, kulit pisang juga boleh digunakan untuk menghilangkan tanda kekuningan pada gigi, meredakan lebam dan mencerahkan kulit.

Pisang adalah antara salah satu daripada rahsia kenikmatan Syurga yang dicipta Allah SWT untuk hamba-Nya. Ia menjadi perhiasan dalaman Syurga bagi orang yang beriman dan bertakwa.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:  “Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon bidara yang tak berduri, dan  pohon-pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya).”  (Surah al-Waqiah, ayat 27-29)

Selain buah-buah seperti kurma, anggur, zaitun dan delima, pisang juga adalah antara buah khusus yang disebut tersedia di Syurga.  Antara khasiat lain pisang ialah mencegah gangguan jantung dan pembuluh darah, memudahkan pencernaan, menurunkan kadar gula dalam darah dan mencegah kemurungan dan insomnia.

Justeru, manfaatkan kelebihan pisang untuk kecantikan  dan kesihatan anda.  Ia bukan sahaja mudah diperolehi malah murah selain enak dijadikan makanan pencuci mulut.