PKP Fasa 4 (pemulihan) tuntut komitmen penuh rakyat dan kerajaan

Ahmad Mahmud 29-Apr-2020
Terus patuhi arahan PKP © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Kelaziman baharu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini memasuki fasa keempat, dengan negara kini dalam tahap pemulihan dari wabak COVID-19.

Langkah-langkah pro-aktif dan agresif kerajaan Malaysia dalam mengekang penyebaran wabak koronavirus baru COVID-19 ini, kini telah berjaya mengubah lengkung menjadi landai, dan meningkatkan jumlah kes yang pulih.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa setakat tengah hari semalam, jumlah kes positif COVID-19 yang dilaporkan, iaitu 31 adalah yang paling rendah sejak PKP bermula pada 18 Mac.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah juga telah memberikan ‘lampu hijau’ kepada syarikat-syarikat yang telah dibenarkan beroperasi lebih awal untuk beroperasi sepenuhnya. Namun, prosedur operasi standard kementerian mesti dipatuhi.

Kejayaan mencapai lekuk rata dan membendung penyebaran virus COVID-19 adalah kejayaan bersama rakyat dan kerajaan. Tetapi harus diingatkan bahawa perkembangan positif dalam situasi COVID-19 ini tidak bermaksud rakyat sudah boleh berpuas hati dan menarik nafas lega dengan arahan PKP.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengatakan bahawa tidak ada gunanya PKP dihentikan untuk sementara waktu, tetapi terpaksa disambung lagi kemudian. Oleh itu, kerajaan sangat berharap agar rakyat dapat terus bersabar dengan keadaan sekarang, demi masa depan yang lebih baik.

Rakyat mesti memberikan komitmen sepenuhnya dalam mematuhi PKP, dan sesiapa yang didapati bersalah melanggar PKP harus bertanggung jawab dengan kesalahan mereka. Semalam, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan dan Razman Zakaria, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak telah dijatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Gerik di Perak kerana melanggar PKP.

Sementara itu, sedikit kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan kepada pelajar universiti untuk pulang ke rumah. Bagi mereka yang terkandas di kampung halaman, mereka telah dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing.

Namun, seperti yang dikatakan oleh Dr. Noor Hisham, PKP ini belum dapat menghapuskan COVID-19 dengan sepenuhnya. Rakyat mesti bersiap sedia untuk menghadapinya untuk jangka waktu yang lebih lama. Buat masa ini, perang melawan musuh yang tidak dapat dilihat ini masih belum berakhir.