PKP mempercepat penguasaan mengajar dalam talian

Kehidupan Ahmad Mahmud 15-Apr-2020
Sedia mengajar dalam talian © Chamaiporn Kitina | Dreamstime.com

Setelah hampir sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, terdapat sebilangan netizen yang mendakwa para pendidik seakan bersenang-lenang dan menyebabkan ada pelajar-pelajar yang ketinggalan dalam pelajaran mereka. Komen-komen yang tidak berasas itu telah merosakkan kredibiliti pendidik, sehingga beberapa guru telah bersuara, walaupun sekolah ditutup tetapi para pendidik tidak bercuti.

Sebenarnya, kelas-kelas masih diteruskan dan para guru secara berterusan  memastikan pelajaran diajar melalui platform dalam talian yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Guru-guru yang memegang tanggungjawab sebagai ketua atau pentadbir platform dalam talian, selain mengajar, mereka juga harus mengawasi semua guru lain, bagi memastikan mereka menguasai kaedah pengajaran sebegini.

Sementara itu, menurut El Gamillo Habibun Tan, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang, Terengganu, antara video yang mendapat sambutan hebat adalah pengajaran maya oleh sekumpulan guru seluruh Malaysia melalui kumpulan ‘Cikgootube’, dengan menggunakan aplikasi Telegram. ‘Cikgootube’ juga berkongsi bahan pengajaran mereka mengikut subjek, melalui Youtube, di bawah pengawasan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM, dengan menggunakan silibus-silibus terbaharu.

El Gamillo yang juga jurulatih kebangsaan ‘Cikgootube’ bersama sekumpulan rakan dalam kumpulan Telegram Apple Teacher Community (ATC iChampion MY) telah menyediakan banyak tutorial pembangunan profesional untuk guru-guru yang menggunakan iPad, sejak bermulanya PKP. Sehingga kini, kira-kira 3,500 guru di seluruh negara telah bergabung dengan kumpulan Telegram ‘Team Cikgootube’, yang telah berkongsi pelbagai video pengajaran dan tutorial. Sebahagian daripada mereka juga terlibat dalam rakaman pelajaran melalui Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) di negeri masing-masing. Rakaman-rakaman ini disiarkan menerusi program TV Pendidikan di saluran TV Okey (RTM).

Laman-laman web mereka adalah: https://www.cikguel.com, https://www.atcichampion.my dan https://cikgootube.net

Bagi ketua Kumpulan e-Didik Malaysia, Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al Idrus, PKP sangat mencabar kerana dia harus mengadakan bengkel dan kursus dalam talian yang sentiasa penuh, bagi guru-guru yang mesti menguasai kemahiran dan kaedah pengajaran dalam talian terbaik, bersesuaian dengan pertumbuhan teknologi komunikasi maklumat. Walaupun platform e-DIDIK sudah lama wujud, ini adalah kali pertama semua guru diminta mengaplikasikan pengetahuan mereka dengan berlatih secara maya.

Kandungan pelajaran dalam talian mestilah interaktif supaya pelajar selesa dan gembira dengan aspek-aspek menarik seperti muzik, animasi, kuiz, audio dan reka bentuk grafik yang menarik. Akhir-akhir ini, maklum balas daripada ibu bapa mengenai pengajaran dalam talian juga adalah sangat positif dan kebanyakan ibu bapa sedang membiasakan diri untuk menggunakannya bagi tujuan mengulangkaji pelajaran dengan anak-anak di rumah.