PKPB dan balik kampung  

Kehidupan Hafiz Firdaus 23-Mei-2020
Balik kampung ketika PKPB © Mohamad Faizal Ramli | Dreamstime.com

Semakin hampir kita dengan hari raya, semakin hati berdebar-debar.  Perasaan ingin bertemu insan-insan tersayang yang lama dirindu meluap-luap.  Wajah ibu dan ayah serta sanak saudara sudah terbayang di mata. Begitu juga kawan-kawan sepermainan sewaktu kecil dahulu.

Hari raya adalah waktunya untuk kita mengimbau kenangan lalu dan mengerat silaturahim.  Berbeza dengan tahun yang lalu, tahun ini ada kekangan yang tidak membenarkan kita menziarah kaum keluarga di negeri berbeza.  Ini bagi menjamin keselamatan dan mengekang penularan COVID-19.

Bagi kaum keluarga yang tinggal di negeri atau daerah yang sama, kita masih boleh berjumpa di pagi hari raya.  Namun, bagi yang tinggal jauh, kita terpaksa menyimpan rindu yang bersarang itu dan balik ke kampung  halaman apabila keadaan kembali pulih.

Inilah normal baharu yang terpaksa ditempuh pada perayaan Aidilfitri kali ini.  Sehingga 9 Jun ini, kita tidak dibenarkan rentas negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebagai manusia biasa, walaupun arahan telah dikeluarkan dengan jelas, masih ramai yang berdegil dan melanggar peraturan tersebut. Waktu begini, seharusnya kita semua membantu memudahkan urusan pihak polis dan angkatan tentera.  Dalam kemeriahan Aidilfitri, kita tidak mahu perkara buruk berlaku kepada kita dan anggota keselamatan yang melaksana tugas.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah menubuhkan pasukan khas bagi mengesan individu yang melakukan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut Aidilfitri.  Pasukan khas ini turut dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemantauan di kawasan perumahan dan kampung di seluruh negara.

Pandemik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia memberi kesan yang cukup mendalam kepada diri individu, keluarga, masyarakat dan juga pihak kerajaan.  Wabak ini boleh disebarkan dengan cepat.

Tanggungjawab kita ialah mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), pakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran peringatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (warn).

Sebagai muslim yang beriman, kita hendaklah bersabar dengan ketentuan-Nya.  Setiap mukmin yang sempurna keimanannya akan sentiasa mendapat kebaikan dalam urusannya kerana dia sentiasa bersyukur.

Apabila ditimpa kesusahan dia bersabar dengan ujian tersebut kerana dengan kesabaran itu dapat menaikkan kedudukannya serta dianugerahkan pahala tanpa batasan daripada Allah SWT.

Sepertimana firman Allah SWT dalam Al-Quran: “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”  (Surah al-Baqarah, 153)

Sabda baginda Rasulullah SAW di dalam satu hadis maksudnya:  “Iman itu dua bahagian, satu bahagian sabar dan satu bahagian lagi adalah syukur.”  (HR Baihaqi : 9264)

Sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman, bagi yang mendapat kebenaran untuk berhari raya di kampung, berhati-hati ketika memandu.  Pastikan anda cukup rehat dan selamat sampai ke destinasi yang dituju.