Pocong : The Origin Mendebarkan

Dari dulu lagi, filem-filem seram terbitan negara jiran kita, Indonesia sering menjadi kesukaan mereka yang gemarkan unsur kejutan dan paranormal dalam hiburan.

Kita juga di Malaysia pasti sudah terbiasa dengan watak-watak hantu yang sering diceritakan dalam filem-filem yang berlatarbelakangkan nusantara ini. Dari Pontianak, Toyol hinggalah ke Pocong, semuanya pernah kita dengar kisahnya dan tonton di layar lebar.

Dan kali ini, kisah hantu Pocong diangkat sekali lagi ke layar perak lewat filem Pocong: The Origin yang dibawa dari seberang.

Filem hasil garapan Monty Tiwa ini menceritakan asal-usul hantu Pocong yang bergentayangan di kota dan rahsia di sebalik kejadiannya.

Menampilkan para pelakon handalan Indonesia seperti Nadya Arina, Samuel Rizal, Della Dartyan dan ramai lagi, filem ini merupakan sebuah hasil karya seni yang tidak menghampakan.

 

Menepati genrenya sebagai sebuah filem seram, ia mempunyai banyak adegan yang mendebarkan dan mampu membuat penonton terkejut beberapa kali. Tidak ketinggalan juga adalah babak-babak lucu yang disulam di dalam alur cerita untuk meringankan sedikit mood filem.

Jadi jika anda ingin mengetahui asal-usul kejadian hantu Pocong, pastikan anda menonton filem ini di pawagam seluruh Malaysia bermula 4 Jun 2019. Ia mungkin tontonan yang sesuai untuk anda yang inginkan sedikit hiburan ‘seram’ sempena percutian Aidilfitri yang bakal datang.

Walau bagaimanapun, jangan lupa, filem ini hanyalah rekaan semata-mata dan digarap untuk hiburan sahaja.