Polio: Golongan anti-vaksin perlu insaf

Uncategorized MAS 22-Dis-2019

Golongan anti-vaksin terutamanya ibu bapa seharusnya insaf dengan terjadinya kes polio baru-baru ini. Penyakit tersebut amat berbahaya dengan satu daripada 200 orang yang dijangkiti akan lumpuh seluruh badan. Lima hingga 10 peratus mangsa yang dijangkiti pula meninggal dunia.

Polio juga penyakit yang amat mudah berjangkit serta merebak kesan daripada najis, makanan, sistem sanitasi dan persekitaran. Tiada penawar untuk polio setakat ini tetapi ia boleh dicegah dengan vaksin yang terbukti selamat dan berkesan.

Menurut Jadual Imunisasi Kebangsaan, bayi perlu menerima vaksin polio tidak aktif (IPV) pada usia dua, tiga dan lima bulan. Dos tambahan perlu diberi apabila bayi mencapai 18 bulan.