Polis analisa rakaman CCTV insiden Syed Saddiq, Papagomo

Kehidupan Adea Ghafar 28-Jan-2020
© Steve Lovegrove | Dreamstime.com

Mahkamah Majistret Kajang dimaklumkan bahawa polis telah menganalisa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang melibatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, dan Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36 pengendali laman blog Papagomo. Kejadian ini berlaku pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Februari tahun lepas.

Saksi kelima pendakwaan itu, Insp Nur Farah Syuhada Hamdan, 35 iaitu Juruanalisis siasatan audio video di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, hasil daripada pemeriksaan itu, didapati rakaman adalah tidak jelas kerana resolusi video asal adalah kecil. Beliau telah disoal oleh Logan Narayanan, peguam yang mewakili Papagomo selaku Orang Kena Saman (OKS).

Menurut Nur Farah, rakaman dalam cakera optik (DVD) itu diterima dalam keadaan baik bersama surat permohonan eksibit untuk pemeriksaan oleh pegawai penyiasat kes, ASP Mohd Radzee Jamudi pada 3.15 petang, 16 Mei tahun lepas. Beliau mengambil masa 30 minit untuk mengenal pasti imej-imej yang diperlukan, iaitu imej suspek (B1) sedang mencekak mangsa (A1) dan melakukan proses ‘enhancement’ bagi menambahbaik kualiti imej-imejnya.

Ketika ditanya Logan sekiranya beliau ada menyatakan nama kedua-dua A1 dan B1, beliau berkata nama tidak diperlukan. Yang diminta pegawai penyiasat adalah analisa perbuatan B1 memeluk dan mencekak A1, dan beliau turut mengatakan tangan B1 ada di atas bahu A1 berdasarkan imej. Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin, sekali lagi beliau berkata, analisisnya adalah berdasarkan perbuatan individu di dalam rakaman tersebut.

Papagamo, juga seorang Exco Pemuda UMNO didakwa mengganggu dan mengaibkan Syed Saddiq di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada 11.05 pagi, 16 Februari 2019. Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, ia boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Seterusnya, Papagomo didakwa mencederakan Syed Saddiq di leher dan bahunya. Menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, ini boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.