Politik Islam: perkara usul atau cabang agama?

Islam untuk Pemula 28 Mac 2021 Aimi Azhary
Aimy Azhary
Politik Islam: perkara usul atau cabang agama?
Politik Islam: perkara usul atau cabang agama? © Maielnashar | Dreamstime.com

Umat Islam diajar untuk mempraktikkan seluruh ajaran Islam dalam segenap aspek kehidupan, termasuk politik. Artikel ini akan membahaskan mengenai ‘Politik Islam, perkara usul atau cabang agama?’

Cabang agama dan cabang fiqah dalam politik Islam

Segelintir masyarakat keliru dengan istilah cabang agama dan cabang fiqah. Cabang agama disebut sebagai Furu’ Ad-Din, iaitu seluruh perkara yang melibatkan praktis  secara zahir. Manakala Usul Ad-din (usul agama) adalah seluruh perkara yang melibatkan akidah yang tersembunyi.

Adapun perkara cabang fiqah adalah isu-isu yang mengandungi perselisihan para ulama dalam menetapkan sesuatu hukum disebabkan perbezaan kaedah mengistinbatnya.

Syiah Imamiah dan urusan politik

Syiah Imamiah merupakan  sebuah mazhab akidah daripada pecahan Syiah. Mereka menganggap perkara Imamah (urusan pemerintahan negara) termasuk dalam bab akidah.

Oleh sebab itu, para ulama Ahlus Sunnah membahaskan isu ini di dalam bab akidah, walaupun ia merupakan cabang agama di sisi mereka. Ini disebabkan urusan pemerintahan lebih berkait rapat dengan amal dan praktis, bukan iktikad.

Perkara cabang, bukan bermaksud mengambil mudah

Walaupun politik Islam termasuk dalam kategori cabang agama, tidak bermaksud umat Islam boleh mengambil mudah akan perkara tersebut kerana agama Islam menekankan kombinasi iman dan praktis. Dengan kata lain, iman itu bermaksud membenarkan dengan hati dan dibuktikan dengan amal.

Sekiranya kita melihat kefarduan asas sekali pun seperti solat, kita akan dapati ianya termasuk dalam cabang agama bukan usul, kerana ia merupakan praktis yang digerakkan oleh badan. Meskipun begitu, solat tetap dikira sebagai rukun Islam dan syiar yang agung serta setiap muslim perlu mengakui kewajipannya.

Oleh sebab itu, para ulama bersepakat bagi mana-mana individu yang mengingkari kefarduan solat dihukum sebagai kafir (sekiranya cukup syarat).

Beriman dengan kesempurnaan hukum Allah Taala

Hukum Allah Taala memiliki kesempurnaan yang hakiki dan umat Islam wajib beriman dengannya. Ini termasuk seluruh suruhan agama sama ada dalam konteks ibadah, sosial, politik, kenegaraan, pendidikan dan sebagainya.

Secara kesimpulan, urusan pemerintahan negara beracukan ajaran Islam merupakan perkara cabang agama, namun iktikad akan kewajipan melaksanakan hukum Allah SWT merupakan perkara usul agama.

Oleh itu, seseorang muslim yang menganggap mana-mana hukum Allah sebagai kuno dan cacat, wajib menambah pengetahuan agama daripada para asatizah yang diiktiraf keilmuannya.

Racun sekularisme yang mempengaruhi fikiran umat

Hakikatnya, isu ini merupakan pertembungan antara kita dengan sekularis. Mereka menekankan konsep pemisahan agama daripada hal ehwal kenegaraan serta mengehadkan agama hanya kepada praktis peribadi sahaja.

Dalam hal ini, Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi menyebut dalam buku beliau, As-siasah Asy-Syar’iah (Politik Islam):

“Sekiranya dibenarkan sekalipun, golongan sekularis hanya bersetuju jika urusan kenegaraan dibahaskan  dalam lingkungan masjid sahaja, tidak lebih dari itu. Lebih-lebih lagi apabila masjid tersebut menjadikan negara sebagai kiblat (terikat dengan peraturan tidak syarii), bukannya tempat ibadah yang bebas menyuruh kepada ketaatan serta mencegah kemungkaran.”

Beliau menambah lagi:

“Pertembungan antara kita dan golongan sekularis bukan lagi perkara cabang agama, tetapi merupakan salah satu daripada isu- isu akidah, kerana ia berkait rapat dengan sifat Hakimiyyah Allah (kesaksamaan Allah). Sebenarnya, golongan sekularis secara tidak langsung menafikan hak Allah dalam menyusun aturan kehidupan manusia.”

Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa’, ayat 60 yang maksudnya:

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu، lalu mereka suka hendak berhukum kepada (ajaran) Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.”