Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Politik kurang matang!

Masyarakat 23 Ogo 2020
Chan Abdullah
Politik kurang matang
Politik kurang matang! © Naruemon Bulwan | Dreamstime.com

Ketika ini negara Malaysia sedang menghadapi gelombang ketiga pandemik COVID-19. Setelah berbulan-bulan barisan hadapan dan rakyat negara berkorban, kes jangkitan positif COVID-19 kembali naik mendadak.

Selain jangkitan disebabkan Pendatang Tanpa Izin (PATI), Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah juga menyumbang kepada peningkatan virus ini.

Politik kurang matang – pembangkang dan kerajaan

Kempen-kempen kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan gagal mematuhi peraturan Prosedur Operasi Standard atau SOP yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Kesannya virus menular sesama penyokong, calon dan juga ke Semenanjung Malaysia.

Ketika negara berhadapan dengan ancaman wabak dan juga tekanan ekonomi, para ahli politik masih lagi mejadikan perebutan kuasa sebagai agenda utama tanpa memikirkan kesan ke atas rakyat dan negara.

Seharusnya dengan pembentukan kerajaan yang baharu dan kejayaan negara menghadapi gelombang pertama dan kedua, semua pihak harus bekerjasama membangunkan kembali negara.

Sepatutnya tanpa mengira parti dan fahaman politik, semua pihak harus bekerjasama membangunkan kembali negara berlandaskan polisi dan prinsip yang telah digariskan oleh parti pemerintah yang membentuk kerajaan.

Politik seharusnya dihadkan semasa musim pilihanraya sahaja. Namun sekarang ini nampaknya pilihanraya bukan lagi setiap 5 tahun, malah boleh sahaja diadakan bila-bila masa. Integriti bukanlah lagi satu perkara yang menjadi keutamaan. Akibatnya mana-mana ahli politik mudah dibeli asalkan ada tawaran yang sesuai.

Perkara baik untuk kepentingan rakyat ditentang?

Dari ahli politik sehingga ke penyokong, masing-masing gigih mempertahankan dan menyokong pihak masing-masing secara bulat-bulat tanpa usul periksa. Jika perkara itu betul masih boleh diterima, tetapi perkara yang salah juga dipertahankan juga bermati-matian. Malah lebih menyedihkan perkara yang baik untuk kepentingan rakyat dan negara juga ditentang kerana dicadangkan oleh pihak lawan.

Politik kepartian yang diwarisi sejak dari kemerdekaan seharusnya diteliti semula. Strategi politik kepartian dengan dakwaan hanya satu parti politik tertentu yang mampu menyelamatkan sesuatu kaum tidak lagi relevan dan tidak boleh diterima.

Politik dengan penuh profesional dan matang yang perlu ditunjukkan oleh ahli-ahli politik. Rakyat sudah penat dan muak melayan kerenah ahli-ahli politik yang asyik mementingkan diri dan mengenepikan kebajikan rakyat.

Parti yang kuat tidak menjamin negara yang kuat jika barisan pemimpin dan pembangkang gagal mentadbir dan membangunkan negara dengan baik. Sememangnya sebuah kerajaan yang baik memerlukan pembangkang yang hebat dan bukan sekadar membangkang agar berlakunya proses semak dan imbang yang baik.

Sudah lama negara Malaysia merdeka. Sudah tiba masanya barisan kerajaan, pembangkang juga mengamalkan politik matang yang lebih telus, berintegriti dan cakna terhadap seluruh rakyatnya.