Popia kudapan ringkas yang enak

Makanan Hanita Hassan 30-Ogo-2020
dreamstime_s_21267342
Popia goreng © Blackphoenix1980 | Dreamstime.com

Popia adalah salah satu hidangan kudapan yang ringkas tetapi padat dengan serat dan karbohidrat yang mengenyangkan.  Ia boleh dimakan di antara waktu makan tengah hari mahupun minum petang atau untuk makan malam yang paling ringkas dan sihat bagi anda yang sedang berdiet. Sesuai dimakan bersama teh atau kopi panas, ia memerlukan tiga bahagian dalam penyediaan popia iaitu kulit, inti dan kuahnya.

Popia disediakan dalam pelbagai cara daripada mentah, digoreng, disira, dan terdapat juga dalam bentuk popia mini. Bagi yang sedang berdiet, popia basah sesuai kerana kandungan kalori adalah rendah. Kaedah penyediaannya  tidak menggunakan minyak yang banyak dan tidak perlu digoreng.

Kulit popia boleh dibuat sendiri dengan menggunakan adunan seperti membuat cucur. Anda boleh menyediakan kulit popia dalam kuantiti yang banyak dan sejuk bekukan kerana ia tahan lama.  Walau bagaimanapun, bagi yang tidak sempat membuatnya, boleh sahaja membeli di pasar raya.

Bahan untuk kulit popia sangat ringkas iaitu tepung gandum, putih telur, cuka (boleh diganti dengan tepung ubi) dan garam serta air.  Kesemua bahan ini dicampur dan dikacau sehingga sebati mengikut sukatan kuantiti yang diperlukan.  Biarkan adunan setengah jam sampai  liat bergetah.

Kemudian panaskan kuali tanpa minyak yang tidak melekat.  Apabila kuali panas, tutup api.  Ambil satu scop adunan tadi di tangan dan ratakan satu lapisan nipis yang bulat di atas kuali leper seperti lempeng. Sekiranya bimbang tangan panas, oleskan dengan sudu asal sahaja ia rata dan nipis.

Biarkan kulit popia ini seminit sehingga bertukar warna kekuningan. Angkat.  Oleh kerana kulit popia ini tidak melekat, anda boleh menyusunnya berlapis-lapis di atas pinggan.

Untuk intinya, anda boleh masukkan telur hancur tanpa minyak untuk memberi sumber protien dalam hidangan bersama hirisan timun, sengkuang, lobak dan salad.  Sapukan sambal tumis kosong ke atas kulit popiah sebelum menyusun intinya.  Sekiranya anda mahu ia rendah kalori, keluarkan kacang tanah dari ramuan kuahnya.

Bagi kuah atau sos selain garam sebagai perasa, gula dan limau nipis juga boleh dimasukkan agar lebih sedap. Terdapat tiga cara penggunaan kuah atau sos bagi menikmati popia iaitu dengan cara mencicah, memasukkan ke dalam popiah ketika menikmatinya, atau dengan cara memasukkan ke dalam popia sebelum digoreng.

Popia adalah satu hidangan yang selari dengan cita rasa anda, boleh diambil sebagai salad atau pembuka selera, sebagai kudapan pagi atau petang namun yang penting menepati keperluan diet.

Di dalam al-Quran banyak mengajar kita tentang tabiat makan yang sihat dan pemakanan yang baik.  Ia bukan sekadar mengekalkan kesihatan jasmani  malah juga kesihatan rohani.  Jika kita tertumpu hanya kepada diet dan pemakanan tanpa pengabdian diri kepada Allah SWT, boleh mengakibatkan diri lemah kerana iman dan jiwa yang kosong.

Begitu juga jika kita mengabaikan keperluan tubuh badan tatkala mengisi segenap masa menumpukan kepada ibadah dan menghambakan diri kepada Allah SWT.  Kita akan ditimpa sakit dan lemah sehingga sukar beribadat dan mentaati perintah Allah.

Justeru bersederhana dan seimbangkan kedua-duanya dalam menjalani kehidupan ini.