Porsche Macan 2019 Dibuka Untuk Tempahan, Harga Dari RM455,000

Suka Rahayu Mat Nah 13-Jun-2019

Macan generasi kedua (2019) yang dinanti-nantikan akan dipersembahkan kepada umum bermula  21 Jun 2019 hadapan di Porsche Centre, Sungai Besi.

Perkara ini diumumkan oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP) dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Jadi, jika anda bercadang untuk menaik taraf kenderaan sedia ada dan berminat dengan kenderaan jenama prestij ini, tempahan sudah boleh dilakukan sekarang.

Porsche Macan baru berharga dari RM 455,000, termasuk jaminan empat tahun, serta pakej penyelenggaraan percuma termasuk alat ganti dan kos buruh untuk pengalaman pemilikan yang lebih baik.

Sebagai bonus, SDAP turut menawarkan yuran pemilikan bulanan menarik dari RM 5,700 untuk Macan baru melalui 360 Financing Calculator.

Sekali tengok, siapa yang tidak terpesona dengan Porsche Macan 2019 ini bukan? Lihat sahaja rekaan baharu pada lampu utama LED hadapan. Tampil bergaya dengan sentuhan lebih sporty.

Lampu brek dengan reka bentuk empat titik adalah satu lagi rekaan terbaik yang mencerminkan identiti jenama kereta ini. Teknologi LED digabungkan sebagai standard kepada rekaan baru lampu utama.

Manakala pilihan Porsche Dynamic Light System Plus (PDLS Plus) boleh digunakan untuk mengawal pengagihan cahaya secara adaptif.

Tidak ketinggalan bampar baharu yang membuatkan kenderaan ini tampak lebih lebar dan luas.

Menjenguk ke bahagian kabin, bahagian tengah telah direka semula untuk menyesuaikan dengan sistem Porsche Communication Management (PSM), yang merangkumi skrin sesentuh 10.9-inci yang menggantikan unit terdahulu 7.2-inci.

Bagi aspek prestasi, Macan boleh mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya 6.7 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai sehingga 225 km/j.

Penggunaan bahan api dianggarkan 8.1 liter per 100 km, sementara pelepasan CO2 pula sekitar 185 gram per km.

Untuk pasaran Malaysia, Macan didatangkan dengan Pakej Premium, yang dilengkapi ciri standard termasuk tempat duduk hadapan dengan 14-cara larasan bersama fungsi memori, pencahayaan ambien, Power Steering Plus Park Assist, cermin anti silau automatik dan sistem bunyi Bose.

Selain boleh memilih beberapa ciri termasuk roda bersaiz 18- hingga 21-inci, serta Sport Chrono Package yang didatangkan dengan roda stereng GT Sport, anda juga boleh juga menempah Porsche Macan dengan warna idaman yang boleh dipilih di pusat pengedar Porsche bertauliah.

Warna-warna tersedia untuk model ini ialah Mamba Green Metallic, Dolomite Silver Metallic, Miami Blue, and Crayon.

Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman sesawang berikut :

Porsche Centre Glenmarie : https://dealer.porsche.com/malaysia/porsche-centre-glenmarie

Porsche Centre Sungai Besi : https://dealer.porsche.com/malaysia/porsche-centre-sungai-besi

Porsche Centre Penang : https://dealer.porsche.com/malaysia/porsche-centre-penang

Kredit foto : Sime Darby Auto Performance Sdn. Bhd