Pos Malaysia Lancar Siri Setem Karakter Marvel

Suka Nor Syariza Tahir 03-Jul-2019

Peminat rangkaian filem adiwira Marvel kini boleh menambah lagi koleksi barangan peribadi dan cenderahati karakter-karakter tersebut dengan membeli siri setem bertemakan Marvel.

Dikeluarkan oleh Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) dengan kerjasama The Walt Disney Company Southeast Asia, set setem edisi terhad itu memberi penghormatan kepada buku-buku komik Marvel dan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-80 Marvel yang berlangsung sepanjang tahun ini.

Siri setem tersebut menampilkan karakter-karaker adiwira kegemaran ramai seperti Captain America, Iron Man, Thor, Hulk, Spider Man, Doctor Strange, Black Widow dan Black Panther.

Tidak seperti penerbitan setem khas lain, setem daripada rangkaian koleksi ‘Setem Ku’ ini hanya boleh didapatkan dalam set folder secara lengkap dan ia tidak akan dijual secara berasingan.

Terdiri daripada dua lembaran setem bertebuk, satu setem tanpa tebukan, dua keping sampul cenderamata, dua keeping poskad dan sekeping folder, harga set folder lengkap adalah bernilai RM120 setiap satu.

‘Marvel 80 Years’ ini merupakan antara keluaran setem yang wajib dimiliki terutamanya bagi peminat Marvel kerana ia didatangkan dalam reka bentuk yang berkonsepkan buku komik yang unik yang menarik.

“Koleksi setem ini sememangnya merupakan barangan bernilai edisi terhad kerana ia memperlihatkan elemen buku-buku komik dan dunia Marvel yang berusia 80 tahun, selain memanfaatkan siri filem blockbuster yang menceritakan mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh wira-wira ini,” ujar Naib Presiden Kanan Pemasaran Pos Malaysia, Schrene Goh.

Tambah Schrene, semua orang membesar dengan kisah-kisah pengembaraan wira-wira Marvel dan mengenali watak-watak serta persona mereka.

“Oleh itu, kami amat gembira untuk meraikan elemen-elemen tersebut yang dapat diperingati menerusi siri setem edisi terhad ini.

“Adalah menjadi harapan kami agar pengenalan setem seperti ini dapat menarik golongan muda untuk mengumpul setem dan memberi nafas baharu kepada hobi mengumpul setem pada zaman moden ini,” jelasnya.

Set folder Adiwira Marvel boleh didapati bermula 4 Julai 2019 secara prapembelian di kesemua 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara atau melalui kedai dalam talian Pos Malaysia di www.eziemall.com.

Foto: Pos Malaysia

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Dikeluarkan oleh Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) dengan kerjasama The Walt Disney Company Southeast Asia, set setem edisi terhad itu memberi penghormatan kepada buku-buku komik Marvel dan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-80 Marvel yang berlangsung sepanjang tahun ini.