Potonglah masa, sebelum ia memotong anda

Kehidupan Tari Basir 29-Okt-2020
dreamstime_s_122540895
Potonglah masa, sebelum ia memotong anda © Ys1982 | Dreamstime.com

Kepentingan masa dan nilainya yang sangat berharga merupakan antara topik yang seharusnya tidak dibincangkan lagi. Pastinya ini kerana umumnya setiap manusia di dunia telah mengetahuinya.

Malahan, sudah pastinya setiap bahasa di dunia memiliki peribahasanya yang tersendiri bagi menggambarkan kepentingan dan nilai masa. Contohnya, lihat peribahasa Arab yang sangat masyhur ini:

“Masa itu umpama pedang, sekiranya anda tidak memotongnya maka ia akan memotong anda.”

Masa itu umpama sebilah pedang?

Setiap penduduk manusia pastinya mengetahui, bahawa pedang merupakan sebuah senjata yang digunakan dalam peperangan. Berbeza dengan pisau, pedang tidak digunakan untuk kegunaan lain selain sebagai sebuah senjata, seperti memasak misalnya.

Sudah tentunya, pedang yang dijadikan senjata peperangan perlulah sentiasa tajam dan diasah selalu. Sehingga ia mampu membunuh musuh dengan satu libasan atau sekurang-kurangnya memberi kecederaan yang parah kepada musuh. Malahan, sebilah pedang yang sangat tajam mampu membelah manusia menjadi dua bahagian. Lihat sahaja ketajaman pedang katana yang dipotretkan dalam filem samurai Jepun.

Pedang yang tumpul sudah semestinya memberikan impak yang besar dalam peperangan. Ini kerana ia tidak lagi berfungsi sebagai sebuah senjata yang baik apatah lagi mampu membunuh musuh, atau sekurang-kurangnya mencederakannya. Sebaliknya, pemilik pedang yang tumpul berpotensi untuk dicederakan oleh musuh kembali, malahan lebih teruk lagi dirinya mungkin dibunuh.

Pedang yang tajam juga boleh mencederakan pemiliknya jika dirinya tidak pandai menggunakan pedang tersebut, atau tidak berhati-hati semasa menggunakannya walaupun sepandai mana dirinya mengendalikan pedang yang tajam tersebut.

Hakikatnya, pedang yang tumpul apatah lagi tajam, kedua-duanya tetap mampu membahayakan pemiliknya sendiri. Oleh sebab itulah, masa diibaratkan seperti pedang, kerana masa mampu membuatkan seseorang manusia itu terleka dan lalai, sekiranya tidak memanfaatkan masanya dengan baik.

Mengapa masa perlu dipotong dahulu, sebelum ia memotong manusia?

Sebilah pedang mampu mencederakan pemiliknya yang tidak pandai mengendalikannya, tanpa mengira sama ada pedang itu tumpul mahupun tajam. Sama seperti masa yang mampu melekakan dan melalaikan manusia, sekiranya dirinya tidak memanfaatkan masa dengan betul.

Kebanyakan daripada manusia selalu mengeluh, bahawa dirinya tidak memiliki masa yang cukup atau betapa pantasnya masa berlalu. Hakikatnya, setiap manusia diberikan jumlah masa yang sama iaitu 24 jam. Namun, 24 jam itu mampu berjalan pantas sekiranya manusia tidak pandai memanfaatkannya dengan baik, apatah lagi membazirkannya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak memanfaatkan dirinya.

Kerana itulah, tanpa disedari manusia telah pun dipotong oleh masa, lalu mati dalam diam. Sedangkan manusialah yang seharusnya memotong masa, dengan memanfaatkan masa tersebut dengan sebaiknya.

Manusia yang dipotong oleh masa ialah manusia yang rugi

Setiap Muslim pastinya mengetahui malah menghafal Surah Al-‘Asr, kerana ia merupakan antara Surah terpendek dalam al-Quran sebanyak tiga ayat sahaja. Namun, setiap Muslim yang baik pasti mengetahui intipati Surah tersebut dan beramal dengannya.

Dalam Surah ini, Allah SWT memberitahu seluruh umat manusia bahawa mereka semua berada dalam kerugian, melainkan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Hanya mereka yang menggunakan masa dengan sebenarnya dan bersabar dalam menjaga masa sahajalah yang tidak tergolong dalam majoriti manusia yang rugi.

Atau dalam kata lain, mereka inilah yang tidak dipotong oleh masa. Sebaliknya, merekalah yang memotong masa sehinggakan masa tidak lagi menjadi pedang yang memotong mereka, bahkan menjadi senjata mereka.