Prihatin kerajaan, kesabaran rakyat di normal baharu

Keadaan KLCC sewaktu musim COVID-19 © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Sudah tentu pandemik koronavirus baru  bukan didatangkan khusus untuk golongan atau bangsa tertentu.  Tidak kira kulit putih atau hitam, kecil atau besar, miskin atau kaya, wabak yang dikenali dengan nama COVID-19 ini mampu menyerang siapa sahaja.

Pandemik ini telah membawa kepada gangguan sosioekonomi global, penangguhan dan pembatalan acara kebudayaan, keagamaan dan kesukanan dan ketakutan yang meluas dalam kekurangan bekalan yang telah mendorong pembelian panik.

Kerajaan terpaksa melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu untuk memutuskan rantaian penularan wabak tersebut.  Ekoran daripada keputusan itu, banyak sektor ekonomi termasuk kerajaan dan swasta yang ditutup.

Wabak ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan nyawa, namun turut memberi impak langsung kepada hampir semua jenis sektor pekerjaan termasuk di negara kita.  Ramai yang hilang pekerjaan atau diberhentikan kerja, tiada gaji atau putus pendapatan dan membiasakan budaya bekerja dari rumah.

Sehingga kini golongan yang bekerja sendiri paling terjejas. Begitu juga dengan golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti petani, nelayan, penoreh getah dan pekerja buruh.  Golongan ini paling terjejas kerana 70% daripada mereka hanya mempunyai simpanan kurang daripada sebulan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak Institut Masa Depan Malaysia (MASA), sehingga Februari 2020, sejumlah 500,000 rakyat di negara ini  tidak mempunyai pekerjaan.  Peningkatan jumlah pengangguran dalam kalangan rakyat dijangka meningkat sehingga 1.8-2 juta orang selepas COVID-19.

Tindakan kerajaan memberi bantuan wang tunai kepada semua peringkat golongan rakyat telah sedikit sebanyak menampung keperluan semasa mereka.  Namun cabaran utama selepas PKP ialah  mencari pekerjaan baharu.

Kita sedar bahawa setiap yang berlaku terkandung hikmah di sebaliknya.  Justeru, kita hendaklah bersabar menghadapi situasi ini dan dalam masa yang sama berani untuk meneroka peluang pekerjaan baharu.  Kita juga perlu menjaga diri dan belajar hidup dalam normal baharu ini.

Daripada Shuhaib r.a., Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”  (Hadis riwayat Muslim)

Normal baharu yang menjadi cabaran kepada semua dilihat memberi kita peluang untuk mahir menggunakan perkakasan teknologi dengan bekerja dari rumah. Ini sekali gus membantu kita mengadaptasi persekitaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan kehidupan digital.