Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan

Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan © youtube.com/c/MASICNAConvention

“Kegembiraan yang hakiki ialah mendapat keredaan Allah SWT. Biarpun manusia tidak suka, tidak merestui, tidak menghargainya, tetapi kalau sesuatu itu mendapat keredaan Allah, itulah makna kegembiraan bagi saya.” Ini adalah antara kata-kata Profesor Ulung Tan Sri Dr Kamal Hassan yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Tahukah anda di Malaysia cuma ada satu Profesor Diraja dan lima orang Profesor Ulung sahaja? Gelaran Profesor Ulung ini diberikan kepada sarjana yang boleh dicontohi dan boleh dianggap milik negara kerana sumbangan mereka. Salah seorang daripada Profesor Ulung ini ialah Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan.

Beliau merupakan Profesor Ulung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan penasihat bagi Unit Kajian Islamisasi Ilmu Pengetahuan Manusia (Centre for Islamisation). Beliau yang mempunyai pengkhususan dalam bidang pemikiran Islam telah menerima Anugerah Profesor Ulung pada tahun 2010. Anugerah ini sebagai menghargai jasa beliau sebagai ikon dan sarjana yang boleh dicontohi.

Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan dilahirkan pada 26 Oktober 1942 di Pasir Mas, Kelantan. Beliau merupakan graduan Universiti Malaya dari Jabatan Pengajian Islam. Selain itu beliau juga memiliki Ijazah Sarjana, Sarjana Falsafah dan Sarjana Kedoktoran dari Universiti Columbia, New York, Amerika Syarikat.

Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan telah memulakan karier beliau sebagai seorang tutor di  Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya pada tahun 1966. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Dekan Pertama di Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Moto UIAM, ‘Taman Ilmu dan Budi’ telah diilhamkan oleh beliau. Beliau seterusnya telah dilantik sebagai Rektor ketiga UIAM (1998-2006).

Beliau menghabiskan lebih tiga dekad usianya berbakti dan berkhidmat di UIAM. Pada awal penubuhan UIAM, pelajar diwajibkan mengikuti kem ibadat setiap hujung minggu dengan pelbagai pengisian, termasuk solat malam, gotong-royong membersihkan masjid dan kubur, kampung dan aktiviti kebajikan.

Umpama ‘Bapa UIAM’, beliau menghabiskan hampir setiap hujung minggunya selama empat tahun untuk bersama-sama pelajar UIAM menyertai kem ibadat di luar kampus pada awal penubuhan universiti itu iaitu sekitar tahun 1980-an.

Pada tahun 1997-1999 beliau telah dilantik sebagai First Holder of Malaysia Chair of Islam in Southeast Asia at the Centre for Muslim-Church Understanding, dan Visiting Professor di Georgetown University, Washington D.C.

Selain terlibat dalam bidang pendidikan, beliau turut menaburkan khidmat dan bakti dalam badan profesional dan juga suruhanjaya kebangsaan. Beliau pernah berkhidmat dengan Majlis Perkhidmatan Islam (MPI), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama dan Adat Istiadat Islam Kelantan.

Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan bukan sahaja menerima pengiktirafan di peringkat  kebangsaan malah telah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti Fullbright Scholarship, Columbia University President’s Fellowship, Woodrow Wilson Dissertation Fellowship dan anugerah Gold Medal for Meritorious Service to the Ummah.

Beliau telah menghasilkan ratusan pembentangan di peringkat antarabangsa. Antara yang terkenal ialah Al-Wasatiyyah as the basis for Muslim Peaceful Coexistence in Southeast Asia dan Integration of Religious Knowledge and Modern Science: The New Trend in Islamic Schools in Southeast Asia Today.

Sumbangan dan jasa beliau di peringkat antarabangsa banyak menukar persepsi masyarakat bukan Islam terhadap Islam. Semoga beliau dapat terus berbakti dan menyumbang kepada dunia  – Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan.