Proton Iriz 2019 Dijual Dengan Harga Serendah RM36,700

Suka Rahayu Mat Nah 25-Apr-2019

Mula dipertontonkan pada Pameran Auto Malaysia yang diadakan baru-baru ini, Proton Iriz 2019 akhirnya dilancarkan pada Selasa, 23 April 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Model hatchback yang menjadi pilihan golongan muda ini tampil dengan lima varian dengan harga jualan yang cukup kompetitif . Harga jualan atas jalan (tanpa insuran) untuk varian Standard 1.3L MT cuma RM36,700, Standard 1.3L CVT, RM39,700, Executive 1.3L CVT, RM44,700 manakala varian Executive 1.6L CVT dan varian tertinggi Premium 1.6L CVT masing-masing berharga RM46,700 dan RM50,700.

Berbeza dengan keluaran terdahulu, Proton Iriz 2019 telah ditambahbaik secara menyeluruh. Selain mengubah reka bentuknya, model 2019 juga dilakukan penambahbaikan pada lebih 300 bahagian serta dengan pengenalan ciri-ciri pintar pertama dalam kelas yang membezakannya daripada pesaing-pesaing.

Dengan memasang sistem stereo pintar, PROTON memperkenalkan ciri-ciri pertama dalam kelas untuk menampilkan revolusi dalam segmen pasaran. Sistem stereo ini boleh didapati pada varian Premium 1.6AT, di mana sistem ini menggunakan kad eSIM yang membolehkan pengguna untuk kekal bersambung ke Internet.

Sistem ini turut menawarkan aplikasi penstriman muzik, navigasi dalam talian dan pengecaman suara yang boleh diakses melalui skrin sentuh 7-inci dengan paparan warna penuh serta memori dalaman sebanyak 16GB. Untuk kemudahan tambahan, sistem ini juga mempunyai kemampuan pencerminan bagi telefon pintar Android.

Sama seperti SUV pertama PROTON iaitu Proton X70, aplikasi pengecaman suara diaktifkan melalui kata kunci Hi Proton! di mana kemudiannya, pemandu boleh mengakses pelbagai pilihan yang ada menggunakan arahan suara ini.

Jadi, pemanduan kekal fokus biarpun pemandu perlu membuat carian untuk ke mana-mana destinasi atau memilih lagu kegemaran. Sistem ini juga akan menerima kemas kini Over The Air (OTA) secara berkala apabila terdapat aplikasi-aplikasi baharu.

Walau pun tiada perubahan untuk enjin dan transmisi, untuk Iriz 2019 ini, Proton mendakwa telah menambah baik prestasi brek, NVH Rating, dan juga lebih menjimatkan bahan api. Bukan itu sahaja, kualitinya telah dipertingkatkan berdasarkan standard penilaian yang dikenali sebagai GCPA Rating, yang ditetapkan oleh Geely.

Ciri-ciri lain yang masih dikekalkan termasuklah dua port pengecas USB, ECO Drive Assist, dan untuk tiga varian tertinggi, ia dipadankan dengan butang penghidup enjin.

Aspek keselamatan juga tiada perubahan, masih kekal dengan dua beg udara untuk varian Standard 1.3L MT dan Standard 1.3L CVT,  enam beg udara untuk varian tertinggi, ABS dan EBD, Kawalan Kestabilan, Bantuan Mula Mendaki, Sistem Kawalan Cengkaman dan cagak Isofix.

 

Kredit Foto : Proton Malaysia