PROTON Perkenal Logo dan Slogan Baharu

Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd pada Selasa melancarkan logo dan slogan baharu, ‘Inspiring Connections’ dalam usaha menyuntik nafas baharu terhadap penjenamaan serta merealisasikan cita-citanya untuk menjadi jenama automotif moden di peringkat global.

Sentuhan ciri logo baharu itu memaparkan kepala harimau yang diangkat tinggi, seperti anak panah yang melambangkan kejayaan PROTON untuk terus maju ke hadapan.

Jenama yang diberi nafas baharu ini mengetengahkan evolusi PROTON sejak ia mengumumkan kerjasama strategik di peringkat global dengan Zhejiang Geely Holding Group pada tahun 2017.

Kerjasama ini telah mewujudkan peningkatan berganda PROTON melibatkan prestasinya dalam segenap dimensi – dari mewujudkan minat pelanggan dengan model-model baharu sehinggalah kepada kedudukan No. 2 dari segi jualan bagi tahun 2019.

Pengerusi, PROTON Holdings Bhd, Dato’ Sri Syed Faisal Albar berkata, pengenalan logo baharu itu turut membuka lembaran baharu terhadap perjalanan PROTON selama ini.

“Industri automotif moden, sebagaimana industri-industri lain hari ini, harus menggunakan pemikiran global dan antarabangsa. Kerjasama global. Rantaian bekalan global. Piawaian global. Bakat global.”

“Inilah apa yang akan terus dilakukan oleh PROTON dan kami berbangga dengan evolusi ini, yang membawa kami ke tahap yang lebih tinggi. PROTON akan terus menghasilkan kereta terbaik yang memenuhi keperluan rakyat Malaysia, dan kami akan lakukannya sebagai sebuah syarikat global yang kompetitif,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong pula menyifatkan pengenalan logo dan slogan baharu PROTON itu melambangkan aspirasi PROTON untuk terus komited kepada semua pelanggannya.

“Bagi kami, penjenamaan bukan sekadar logo, slogan atau warna. Ia melambangkan aspirasi PROTON. Ini adalah komitmen kami kepada para pelanggan. Sebab itulah kami tidak tergesa-gesa melancarkan penjenamaan baharu ini pada permulaan perjalanan kami pada tahun 2017.”

Sebaliknya, kami memfokuskan segala usaha kami untuk menyelesaikan pelbagai isu pelanggan, mewujudkan produk yang lebih baik, meningkatkan rangkaian wakil penjual kami, dan membina kembali kepercayaan para pelanggan. Inilah komitmen kami dan ‘jenama’ kami.

Tambah Li lagi, penjenamaan baharu itu dipacu oleh tiga nilai teras – teknologi inovatif, kebolehpercayaan dan antarabangsa, seiring dengan cita-cita Proton untuk muncul sebagai satu jenama global sebenar dan antara tiga pengeluar automotif utama di ASEAN.

“Menerusi perkenalan logo dan slogan baharu pada hari ini (Selasa), kami juga memperkenalkan semangat baharu untuk PROTON dan cita-cita untuk menjadi jenama automotif moden di peringkat global.”

“Semangat baharu kami ini merangkumi nilai-nilai teras merangkumi penggunaan teknologi inovatif, komitmen terhadap kebolehpercayaan dan penggunaan sudut pandang antarabangsa. Ia bangkit daripada dedikasi kami terhadap pekerjaan yang dilakukan, pelanggan-pelangan sedia ada dan yang bakal diperoleh, dan semestinya warga kerja PROTON, yang berada sebalik komitmen ini,” ujar beliau.

Logo baharu PROTON akan digunakan oleh model-model PROTON dan kesemua cawangan syarikat itu secara berperingkat.