Proton Saga 2019 Lebih Bergaya dan Mampu Milik

Suka Rahayu Mat Nah 07-Ogo-2019

PROTON Holdings Berhad (Proton) pada Selasa melancarkan model Saga 2019 dengan tiga varian untuk pasaran tempatan dengan harga yang cukup kompetitif.

Harga bermula dengan RM32,800 untuk varian Standard MT, RM35,800 untuk Standard AT dan RM39,800 untuk Premium AT. Harga ini hadir bersama pakej servis untuk kos pekerja percuma sebanyak tiga kali atau selama setahun.

Lebih menarik, kadar faedah pembiayaan juga ditawarkan serendah 2.98 peratus setahun berserta pakej insurans.

Versi terbaharu model ikonik dan terlaris PROTON ini dilengkapi dengan gaya baharu, kotak gear automatik empat kelajuan dan ciri pintar pertama di dalam kelasnya .

Dengan menampilkan slogan ‘Pilihan Yang Pintar’ atau ‘An Intelligent Proposition’, Proton Saga 2019 menjanjikan tiga ciri unik gaya mengujakan, penjimatan bijak dan kestabilan mantap.

Pada bahagian luar, Saga 2019 dipasangkan dengan bampar hadapan baharu dan lebih agresif bersepadu dengan lampu nyalaan siang.

Bahagian gril turut mempunyai corak infinite weave yang mula diperkenalkan melalui model Proton X70 serta Iriz dan Persona 2019.

Bampar belakang yang sama menonjol sepadan dengan bahagian hadapan dan rekaan di belakang dilengkapi dengan spoiler belakang bersepadu baharu dan nama PROTON terletak pada bahagian penutup but.

Satu set roda aloi bersaiz 15 inci yang menampilkan rekaan baharu menyerikan lagi sentuhan akhir pada varian premium.

Pada bahagian dalam pula, perubahan paling ketara dilakukan adalah pada monitor skrin sesentuh 7-inci terapung atau floating touchscreen pada model premium.

Digunakan untuk mengawal sistem infotainmen, kemudahan ini mempunyai sambungan Bluetooth, kapasiti penyimpanan dalaman 16GB dan sambungan telefon pintar untuk Android.

Perubahan lain termasuklah upholsteri tempat duduk baharu, panel tengah baharu, paparan kombinasi meter baharu dengan Bantuan Pemanduan Eco dan turut dilengkapi sehingga tiga tempat cucuk USB.

Kemudahan yang turut disediakan dalam Saga 2019 ini termasuklah kunci pembuka but, pelindung matahari dengan pemegang kad dan cermin, lampu peta LED dan pemegang genggaman baharu untuk disepadankan dengan bahan yang digunakan di bahagian dalaman kereta.

Kestabilan mantap dengan keselamatan tanpa kompromi

Secara mekanikal, perubahan yang paling besar adalah transmisi automatik empat kelajuan baharu menggantikan CVT yang digunakan sebelum ini.

Barisan jurutera PROTON kemudiannya membuat peningkatan pada prestasi brek, tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH) serta keseimbangan pemanduan dan pengendalian disamping menambah tahap keselamatan yang berkelas dunia.

Ciri-ciri keselamatan pada model ini terdiri daripada Brek Anti Kekunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) untuk ketiga-tiga varian yang turut dilengkapi dengan beg udara depan, sensor tempat letak kereta belakang dan titik penahan ISOFIX dengan top tethers.

Tambahan pada varian Premium adalah Bantuan Kawalan Cerun, sensor tempat letak kereta hadapan, kamera undur dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS). Dengan pertambahan ciri-ciri keselamatan ini, Saga 2019 menjadi satu-satunya kereta yang berharga kurang daripada RM40,000 dilengkapi ciri-ciri itu.

Saga 2019 dilancarkan dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Turut hadir ialah Dato’ Mohammad Zainal Shaari, Pengerusi DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON, Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON serta Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Kredit Foto : Proton Holdings Berhad