Proton X70 Kekal Juara SUV

Suka Rahayu Mat Nah 04-Jul-2019

Selepas sebulan mencatatkan jualan yang tinggi pada bulan Mei, Proton meneruskan momentum kenaikan jualan pada tahun 2019 dengan mencatatkan jumlah pegangan pasaran tertinggi sejak Julai 2015.

Jualan sebanyak 7,615 unit pada bulan Jun adalah angka kedua tertinggi yang dicatatkan oleh Proton pada tahun ini, menjadikan pegangan sebanyak 18.1% daripada pasaran automotif Malaysia dalam tempoh sebulan apabila Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan merosot sebanyak 30.8% iaitu 42,090 unit.

Proton X70 terus menjadi salah satu produk PROTON paling popular. Bagi separuh pertama tahun ini, sebanyak 15,175 unit telah diserahkan kepada pelanggan, menjadikannya ia pendahulu jualan kumulatif untuk keseluruhan segmen SUV.

Sekaligus, mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris.

Model-model Proton yang lain turut mencatatkan jualan yang baik. Jualan Proton Saga terus berkembang dengan sebanyak 2,541 unit diserahkan pada bulan Jun, menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan sebanyak 27% berbanding enam bulan pertama tahun 2018.

Model-model lain, yang kini dilengkapi dengan ciri-ciri pintar menunjukkan prestasi baik dengan tempahan untuk Proton Persona, Iriz dan Exora 2019 meningkat masing-masing sebanyak 108%, 180% dan 135% berbanding jumlah tempahan model semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, pihaknya percaya pembukaan lebih banyak cawangan 3S/4S di seluruh negara turut menyumbang kepada peningkatan jualan Proton.

Sehingga akhir bulan Jun, Proton mempunyai sebanyak 91 cawangan yang telah ditambahbaik, paling banyak antara kebanyakan jenama automotif di Malaysia.

Kredit foto : Proton