Puasa enam di bulan Syawal

Agama Abi Aasim 25-Mei-2020
Puasa Enam Syawal © Wirestock | Dreamstime.com

Dikenali sebagai puasa enam di kalangan masyarakat negara kita, amalan berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal ini adalah satu amalan yang popular buat masyarakat negara ini. Amalan berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal ini ibarat pelengkap ibadah berpuasa di bulan Ramadan.

Dalam menilai sejauh mana keikhlasan seorang Muslim melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan, puasa sunat enam boleh dijadikan kayu ukuran tahap ketakwaan terhadap Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diiringinya dengan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal, itu adalah menyamai seperti berpuasa selama setahun.”

Puasa sunat enam boleh dimulakan seawal hari kedua bulan Syawal. Puasa sunat enam boleh dilakukan secara berterusan ataupun berselang-selang sehingga cukup enam hari pada bulan Syawal. Namun adalah lebih afdal jika dapat dilakukan secara berturut-turut.

Jumhur fuqaha daripada mazhab al-Syafie, al-Hanbali dan sebahagian fuqaha al-Hanafi dan al-Maliki bersepakat mengatakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal adalah mustahab (sunat). Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menaqalkan; Berkata Ashab al-Syafie: “Yang paling afdal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aildilfitri. Jika sekiranya tidak berturut-turut (berselang-selang), asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal maka itu juga turut mendapat fadilat al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi puasa bulan Ramadan).”

Sepertimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW, seperti juga puasa di bulan Ramadan, umat Islam disunatkan untuk bersahur sewaktu puasa sunat enam.

Bagi kaum wanita atau mereka yang terpaksa meninggalkan puasa kerana keuzuran, sebaik-baiknya perlu qada puasa Ramadan yang ditinggalkan dahulu sebelum mulakan puasa sunat enam.

Hukum menyatukan puasa qada dengan puasa sunat enam  dan lain-lain hari yang disunatkan berpuasa adalah harus dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya. Namun, ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seseorang yang telah menyempurnakan puasa sepenuhnya daripada sebulan Ramadan.

Menyegerakan qada atau ganti puasa di bulan Ramadan adalah amalan yang terpuji dan dituntut oleh syarak.

Sebagai Muslim, haruslah kita jadikan amalan puasa sunat ini sebagai kelaziman. Puasa dapat membantu kita melakukan perkara kebaikan dan menjauhkan kita dari perkara yang buruk dan keji. Semoga segala amalan kita diterima oleh Allah SWT dan diberikan ganjaran kebaikan.