Puasa-puasa sunat yang pelbagai

ID 144830187 © Eg004713 | Dreamstime.com
Mekarkan puasa sunat dalam hidup anda © Eg004713 | Dreamstime.com

Ibadah puasa adalah amalan fardu ke atas umat Islam pada bulan Ramadan.  Kita diwajibkan berpuasa selama sebulan.  Walau bagaimanapun, kita juga digalakkan melakukan puasa sunat di bulan-bulan lain selepas keluar daripada Madrasah Ramadan.

Puasa sunat  enam boleh dilakukan seawal hari kedua Syawal. Ia boleh dibuat secara berturut-turut atau terpisah-pisah sama ada di awal, pertengahan atau di akhir Syawal.

Hikmah dari sudut kesihatan, ia baik bagi sistem pencernaan setelah berehat sebulan sepanjang Ramadan. Ia seperti latihan untuk mengembalikan sistem penghadaman  secara beransur-ansur kepada keadaan biasa.

Seperti kata Abu Ayyub Al-Ansari r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diiringi dengan enam hari dalam bulan Syawal, itu adalah menyamai seperti berpuasa selama setahun.” (Hadis riwayat Muslim, no. 1164)

Puasa sunat Isnin dan Khamis juga digalakkan.  Sepertimana riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW besabda: “Diangkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.”  (HR At-Tarmidzi)

Berpuasa tiga hari setiap bulan mungkin senang sedikit untuk diamalkan.  Tidak kisah hari atau tarikh, tetapi yang afdalnya pada hari-hari Putih iaitu 13, 14 dan 15 setiap bulan Hijrah. Pada tiga tarikh ini bulan sedang mengambang penuh.  Jadi cahaya bulan menerangi dan inilah sebabnya ia dinamakan ‘Hari Putih’.

Puasa hari ini dan esok tidak puasa.  Lusa puasa semula, tulat tidak puasa.  Maksudnya puasa sehari dan tidak puasa sehari.  Selang seli dan ini juga termasuk puasa sunat yang afdal.

Puasa pada hari Arafah terutama kepada orang yang tidak mengerjakan haji.  Hari Arafah  jatuh pada sembilan Zulhijah.  Fadilatnya sangat besar. Sepertimana sabda Nabi SAW bermaksud: “Puasa hari Arafah, aku mengharapkan pahala kepada Allah bahawa ia menghapus dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya.”  (HR Muslim)

Elok juga sekiranya kita dapat berpuasa pada hari kelapan Zulhijah iaitu dua hari berturut-turut.  Ini kerana ada keazaman Nabi SAW untuk berpuasa pada sembilan Zulhijah.

Disunatkan juga kita berpuasa pada bulan-bulan haram iaitu bulan Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah. Sabda Nabi SAW: “…seafdal-afdal puasa selepas Ramadan ialah bulan Allah iaitu bulan Muharam.” (HR Muslim)

Puasa sunat Asyura pula dilakukan pada hari ke-10 Muharam dan  lebih baik ditambah pada hari kesembilan. Puasa sunat lain yang boleh dilakukan ialah seperti puasa bulan Syaaban.  Fadilatnya juga besar kerana Nabi SAW selalu berpuasa di bulan Syaaban sebagaimana yang diceritakan oleh Aishah r.a. (HR Bukhari)

Sedikit peringatan mengenai hari-hari yang diharamkan puasa. Ia dinamakan hari-hari Tasyriq dan terdiri daripada Hari Raya Aidilfitri (1 Syawal) dan Aidiladha (10 Zulhijah) serta tanggal 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Marilah kita teruskan ibadah puasa sunat lain selepas Ramadan supaya amalan baik kita ini berterusan. Dalam masa yang sama, segerakan qada puasa. Semoga amalan puasa sunat ini akan memelihara  sifat keji dan mungkar, sekali gus mendorong kita mengerjakan amalan kebaikan lain serta menampung kekurangan puasa wajib yang lepas.