Puasa – rantaian kemuliaan Ramadan mendidik jiwa

Puasa Siti Nur Baiin Che Harun
Pilihan oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Puasa - rantaian kemuliaan Ramadan mendidik jiwa
Puasa - rantaian kemuliaan Ramadan mendidik jiwa © dotshock | Dreamstime.com

Tuntutan pada bulan Ramadan bukan hanya pada meningkatkan amalan yang baik, bahkan tuntutan kepada meninggalkan yang dilarang oleh Allah SWT.

“Seorang muslim yang baik adalah kaum muslimin yang selamat dari keburukan lisan dan tangannya.”

(Hadis riwayat Muslim, 64)

Ada seorang laki-laki yang bertanya kepada Rasulullah SAW:

“Siapakah orang muslim yang paling baik? Baginda menjawab, “Seseorang yang orang-orang muslim yang lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya”.

(Hadis riwayat Muslim, 65; dari Jabir r.a)

Berpuasa mendidik jiwa dan membentuk takwa

Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 183)

Tafsir ringkas mengenai ayat di atas adalah seperti berikut:

‘Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa adalah untuk mendidik jiwa, mengendalikan syahwat, dan menyedarkan bahawa manusia memiliki kelebihan dibandingkan haiwan, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu dari umat para nabi terdahulu agar kamu bertakwa dengan melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah SWT.’

Tujuan berpuasa itu adalah untuk membentuk takwa. Takwa itu ialah hati. Hati kita menjadi lebih cinta kepada Allah SWT. Erti takwa itu juga takut untuk melanggar perintah Allah. Jadi, sebab itu adab ini sangat penting dalam membentuk hati. Mari kita lihat dan selusuri mengapa adab ini sangat penting.

Haiwan dan tumbuhan juga berpuasa

Proses berpuasa ini juga berlaku kepada binatang dan tumbuhan. Mereka juga ada proses puasanya. Tapi ia tidak dapat dilihat oleh pandangan zahir manusia.

Contohnya ular, ular juga berpuasa bila hendak bersalin kulit. Ia perlu melalui dan menempuhi proses puasa itu. Ia perlu berada dalam keadaan lemah, tidak makan dan tidak minum untuk melalui fasa sebelum bersalin kulit. Proses ini perlu kerana ia merupakan proses untuk mendapatkan kulit yang baru.

Pokok juga ada puasanya. Yakni ketika waktu mengering, daun-daun mulai gugur akhirnya mengeluarkan bunga yang sangat indah.

Berpuasa membentuk hati yang baru

Oleh itu, proses berpuasa ini boleh membentuk hati yang baru. Proses ini adalah untuk membentuk adab. Contoh adab yang perlu dijaga adalah apabila kita bercakap.

Di bulan puasa, jika ada tersalah cakap, istighfarlah segera dengan mengingati, “Ya Allah, ini bulan Ramadan. Peliharalah lisanku dari berkata yang buruk atau perkara yang tidak mendatangkan sebarang manfaat.”

Tamsilannya, pada waktu siang kita tidak boleh menyuap mulut kita dengan makanan. Akan tetapi mulut kita mesti disuap dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran.

Dalam satu hadis daripada Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak.”

Rantaian kemuliaan buat umat Nabi Muhammad SAW

Petikan ini adalah perkongsian dari Ustazah Asni Mansor untuk kita sama-sama renungkan.

“Al-Quran ini adalah cara dan budaya hidup. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, maka Nabi Muhammad adalah nabi yang paling mulia. Ia diturunkan pada bulan Ramadan, maka bulan Ramadan itu dipilih menjadi bulan yang paling mulia. Al-Quran itu diturunkan pada malam Lailatul Qadar, maka malam Lailatur Qadar itu dipilih menjadi malam yang paling mulia. Al-Quran turun pada umat Nabi Muhammad, maka umat Muhammad diangkat menjadi umat yang paling mulia. Persoalannya, apa jadi jika Al-Quran turun pada hati kita?”

Maka kitalah yang punya hati yang paling mulia jika kita membaca, memahami dan mengamalkan ajaran dalam Al-Quran.

Ambil peluang menghayati bulan Ramadan

Segala yang ada di dunia akan meninggalkan kita dan akan ditinggalkan. Akan tetapi, ayat Al-Quran yang dibaca akan mengiringi kita hingga ke akhirat nanti.

“Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah. Dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantinya), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak mengkehendaki kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 185)

Secara ibrahnya, ambillah peluang menghayati bulan Ramadan dengan menjaga kemuliaan yang ada padanya. Jagalah adab-adab dalam bulan berpuasa.

Perbanyakkan membaca Al-Quran, bersedekah dan berbuat kebaikan. Jaga lisan dan tingkah laku dan semua amal ibadah dipertingkatkan. Tinggalkan perkara yang haram lagi melalaikan.