Pulau Besar, Melaka – destinasi pelancong unik berciri agama

Melancong Zalika Adam 17-Okt-2020
JEtiPulauBesar
Pulau Besar, Melaka © tripadvisor.co.uk

Pulau Besar terletak di Melaka. Jeti perhentiannya terletak di Anjung Batu, Kampung Seri Minyak iaitu sekitar 30 minit ke pusat bandar Melaka. Pulau Besar sudah menjadi daya tarikan pelancong sejak dahulu lagi. Pengangkutan feri dan bot laju disedikan untuk sampai ke sana.

Sejarah dan agama Islam

Pantai Pulau Besar sangat cantik dan bersih. Ramai pelancong datang ke sana menikmati keindahannya. Terdapat juga resort disedikan bagi yang ingin menginap. Tidak kira masyarakat dan kaum, samaada Melayu, India dan China dan pelancong luar dari Melaka gemar datang ke sana menghabiskan percutian.

Walaupun Pulau Besar terletak di kawasan perkampungan, kini, Kerajaan negeri Melaka telah membina sebuah Muzium Negeri Melaka (PERZIM) yang telah mengambil alih dan membaik pulih beberapa buah makam di pulau ini. Beberapa bot nelayan juga kelihatan di kawasan pulau. Mereka mencari rezeki mendapatkan hasil laut bagi menyara kehidupan harian.

Pulau Besar merupakan sebuah tempat yang banyak dikaitkan dengan kisah mistik dan lagendanya. Ianya merupakan satu tempat yang bersejarah khususnya dengan kisah awal penyebaran agama Islam dinusantara yang menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Sebuah sekolah tahfiz lelaki di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka berada di kawasan Pulau Besar ini. Ia menjadikan daya tarikan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak untuk mempelajari ilmu agama. Suasana yang segar dan nyaman memudahkan para pelajar menghafaz surah-surah al-Quran.

Makam Sultanul Ariffin

Terdapat beberapa makam di sini, makam yang terkenal ialah Makam Sultanul Ariffin. Sehinggakan ada sebahagian masyarakat datang mengambil keberkatan di makam tersebut. Pernah dikhabarkan suatu ketika dahulu cubaan untuk memecahkan makam tersebut, namun tidak berjaya. Nama sebenar beliau ialah Sheikh Ismail Abdul Qadir (qaddasallahu sirrahu).

Beliau merupakan cicit kepada Sultanul Aulia Sheikh Abdul Qadir Jailani. Sultanul Ariffin adalah nama yang digelarkan oleh orang ramai terhadap beliau yang membawa maksud ‘Penghulu Orang-Orang Yang Arif’. Beliau dilahirkan pada 17 Rabiul Awal tahun 867 Hijrah di Baghdad. Bapanya bernama Sheikh Abdul Qadir dan ibunya bernama As Sayyidah Fatimah.

Di Pulau Besar, ilmunya telah berkembang luas dan beliau mempunyai pengikut yang sangat ramai. Sultanul Ariffin telah meninggal dunia pada 17 Rabiul Awal tahun 925 Hijrah ketika beliau berusia 58 tahun.  Sehingga kini makam Sultanul Ariffin terus menjadi tumpuan dan diziarahi oleh orang ramai.

Tapak kaki Sultanul Ariffin terletak di dalam kawasan D’Puteri Kurnia Resort. Ada beberapa pendapat menyatakan bahawa ini adalah tapak kaki Sultanul Ariffin. Tapak kaki yang kelihatan di Pulau Besar adalah tapak kaki sebelah kanannya. Manakala tapak kaki kirinya terdapat di Pulau Serimbun.

Semoga khazanah yang ada di Melaka ini dapat dipelihara dan menjadi daya tarikan lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negeri.