Pulau Tioman destinasi menawan 

Alam Sekitar Hanita Hassan
Hanita Hassan
Pulau Tioman destinasi menawan 
Pulau Tioman destinasi menawan © Alphonsusjimos | Dreamstime.com

Pulau Tioman merupakan salah satu daripada 10 buah pulau tercantik dan mempersona di dunia. Terletak di Rompin, Pahang, ia adalah destinasi menarik untuk anda   menenangkan fikiran. Keindahannya tambah menyerlah dengan mercu tanda dua puncak Gunung Simukut.  

Memiliki keluasan 39 kilometer panjang dengan lebar 12 kilometer, jika dilihat daripada udara, pulau ini seolah-olah berbentuk seketul peha ayam. Jaraknya kira-kira 70 kilometer dari Mersing, Johor, jeti yang  popular dalam kalangan pelancong, 36 batu nautika dari jeti Tanjung Gemok, Kuala Rompin di Pahang.

Popular sebagai destinasi skuba dan snorkel

Keunikan dasar laut ciptaan Allah SWT yang memukau menjadikannya popular dalam kalangan peminat sukan skuba dan snorkel.  Bagi anda yang pertama kali ke sini, pastinya akan terus jatuh cinta melihat kebiruan air laut, pepasir putih yang halus dan segalanya. Aktiviti skuba dan snorkel boleh dilakukan di Pulau Soyak, Pulau Renggis, Pulau Tulai, Pulau Jahat dan Pulau Tomok.

Sekiranya anda tidak mempunyai set untuk menyelam, ia boleh disewa daripada penyewa di pulau ini.  Lesen menyelam turut ditawarkan di sini.  Bagi yang pertama kali melakukan selam snorkel, pastikan ‘mask’ selesa dipakai dan mudah bernafas dengan snorkel.  Anda boleh bermula di kawasan air cetek dahulu.  Jangan lupa bawa roti untuk memberi makan ikan-ikan aneka warna yang akan menggigit jari-jari anda.

Memandangkan di Tioman ini banyak pulau.  Disarankan untuk anda mengambil pakej mengelilingi pulau yang biasanya bersekali dengan aktiviti bersnorkel.  Selain aktiviti air, anda juga boleh mendaki gunung Simukut untuk melihat keindahan flora dan faunanya.  Ia juga digelar Little Borneo oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Anda juga boleh mengunjungi Taman-taman Laut Tioman.  Sekiranya anda datang pada musim penyu bertelur sekitar April hingga Oktober, singgahlah ke Kampung Juara.  Di sini adalah pusat pemuliharaan penyu.  Anda boleh melihat penyu menetas dan membuat kerja-kerja sukarelawan. Di sini juga terdapat aktiviti snorkel dan luncur air.

Pulau Tioman destinasi menawan 

Sekitar Pulau Tioman terdapat banyak kampung yang mempunyai kira-kira 3,000 penduduk yang menetap dan bekerja di pulau.  Kebanyakan mereka nelayan dan pekerja resort.  Sekiranya anda menaiki feri, di setiap perhentian tertera nama kampung di papan tanda jeti.  Anda boleh meminta bantuan pihak feri apabila tiba di tempat perhentian anda.

Beberapa kampung di Tioman yang sering dikunjungi pelancong adalah Kampung Tekek, Juara, Air Batang, Kampung Salang, Kampung Mukut dan Kampung Genting.  Semua kampung mengadap daratan Semenanjung Malaysia kecuali Kampung Juara yang mengadap Laut China Selatan.  Kampung Juara antara kampung paling cantik di sini.  Ia seolah-olah Maldives Malaysia.

Setiap kali apabila kita berpeluang berkunjung ke tempat seperti ini, lihatlah betapa besar kekuasaan Allah SWT.  Jadikan alam yang terbentang luas sebagai tempat untuk kita belajar, menimba ilmu serta menginsafi diri demi menguatkan keimanan kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

(Surah al-Anfal, ayat 2)