Pulau Upeh, habitat penyu Karah

Alam Sekitar Hanita Hassan
Hanita Hassan
Pulau Upeh, habitat penyu Karah
Pulau Upeh, habitat penyu Karah © Andrey Armyagov | Dreamstime.com

Penyu Karah (Eretmochelys imbricate) atau penyu Sisik adalah antara spesis penyu terancam di dunia. Penyu karah adalah spesis penyu kedua terbesar saiznya selepas penyu Lipas tetapi lebih kecil berbanding penyu Agar dan penyu Belimbing.

Pulau Upeh, habitat penyu Karah

Penyu Karah tergolong dalam keluarga Cheloniidae dan satu-satunya spesis dalam genusnya yang masih wujud.  Rupanya sama seperti penyu yang lain. Bentuk badannya rata, karapas sebagai pelindung dan lengan seperti kaki bersirip untuk memudahkannya berenang di laut lepas.

Di Malaysia, antara penyu yang sering kelihatan di perairannya adalah penyu Karah, penyu Hijau, penyu Belimbing dan penyu Lipas.  Kesemua penyu ini mengalami kepupusan dan habitatnya semakin terancam jika tidak dipulihara.

Justeru, sejak tahun 1999 Jabatan Perikanan Malaysia telah melaksana, menyelia dan mengurus pelbagai program berkaitan.  Di Sabah, kerajaan negeri telah mewartakan sebuah taman marin iaitu Taman Laut Pulau Penyu merangkumi Selingan, Bakkungan Kecil dan Gulisan sebagai kawasan pendaratan penyu

Setiap kali musim bertelur iaitu sekitar April hingga Oktober, penyu akan kembali semula ke sarangnya di mana ia ditetaskan.  Di Malaysia, habitat penyu karah terdapat banyak di Pulau Upeh, Melaka.

Setiap tahun penyu karah akan kembali semula ke Pulau Upeh   disebabkan persekitaran yang sejuk, gelap serta pasir yang sesuai.  Pulau Upeh dikenali sebagai kawasan pendaratan penyu karah bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia Tenggara.

Beberapa habitat penyu karah di Melaka

Bagi peminat penyu Karah, anda boleh menyaksikan fenomena penyu bertelur ini pada setiap kali musimnya.  Pulau Upeh terletak berhampiran dengan pantai Klebang.  Anda boleh ke pulau ini menaiki bot laju sama ada dari jeti di Bandar Melaka atau jeti di Klebang.  Ia hanya mengambil masa 15 ke 20 minit.

Pulau Upeh suatu ketika dahulu merupakan sebuah pusat pelancongan.  Kini ia hanyalah tempat para nelayan singgah berteduh selepas lelah menangkap ikan di laut berhampiran pantai Klebang.

Pada waktu malam, di sepanjang jetinya kelihatan ramai kumpulan memancing melepaskan hobi.  Berdasarkan laporan Jabatan Perikanan Negeri, jumlah pendaratan penyu di pantai negeri Melaka meningkat kepada 182 dari Januari hingga Mei 2020 iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  Jumlah pendaratan penyu ini jauh lebih tinggi berbanding tahun 2019 dengan 106 pendaratan sahaja.

Selain Pulau Upeh, beberapa sarang lain yang menjadi habitat penyu karah seperti di Kem Terendak, Sungai Udang, Tanjung Dahan, Tanjung Serai serta Meriam Patah di Kuala Sungai Baru.  Terdapat 4,595 sarang telur penyu dilaporkan di Melaka dari tahun 2009 hingga 2018.

Kawasan pendaratan penyu Karah

Kawasan pantai sepanjang 20 kilometer dari Tanjung Bidara hingga ke Kuala Linggi adalah kawasan pendaratan penyu Karah.  Setahun purata pendaratan penyu karah di pantai di Melaka adalah sebanyak 400 ke 500 sarang.

Kerajaan negeri Melaka telah mewartakan kawasan sepanjang 800 meter di pantai Padang Kemunting sebagai kawasan santuari dan ekopelancongan penyu karah.  Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pihak International Union for Conservation of Nature (IUCN), penyu karah telah disenarai merahkan sebagai antara habitat yang bakal pupus.

Sesungguhnya setiap makhluk ciptaan Allah SWT di muka bumi ini mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing.  Justeru sebagai hamba-Nya, marilah kita pulihara dan lindungi spesis penyu ini demi kebaikan ekosistem dunia pada masa hadapan.