Pupuk amalan membaca – bagaimana caranya?

Pendidikan Hannan
Terkini oleh Hannan
Pupuk amalan membaca - bagaimana caranya?
Pupuk amalan membaca - bagaimana caranya? © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Pasti ramai di antara kita yang bertindak memasang azam baharu setiap kali masuk tahun baru. Selalunya, kita berazam untuk menurunkan berat badan, menyimpan lebih banyak wang dan ada juga yang ingin memupuk amalan membaca.

Walau bagaimanapun, seperti azam-azam lain, amalan membaca bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi jika anda seorang yang sibuk dan terpaksa bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Pupuk amalan membaca

Ramai yang menganggap membaca sebagai satu hobi yang menenangkan. Namun, ada juga yang struggle untuk terus membaca. Bagi mereka, membaca merupakan sebuah ‘tugas’ yang sukar untuk dilakukan. Hendak menyelak halaman demi halaman juga terasa sukar.

Namun, amalan membaca mempunyai pelbagai kebaikannya yang tersendiri. Bak kata pepatah, membaca itu jambatan ilmu. Sebuah buku boleh membantu anda untuk menambah ilmu pengetahuan, meluaskan pandangan dan belajar perkara-perkara baharu.

Memupuk amalan membaca juga bukanlah sesuatu yang sukar. Jika anda terus komited dan berdisiplin, tidak mustahil amalan ini boleh diterapkan ke dalam kehidupan seharian anda. Malah, ahli keluarga anda juga boleh mendapat manfaat daripada amalan ini.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.”

(Hadis riwayat Muslim, 4867)

Bagaimana hendak memupuk amalan membaca?

Jelaslah, Islam amat menggalakkan umatnya untuk menuntut ilmu. Salah satu caranya ialah melalui pembacaan. Walau bagaimanapun, apakah cara yang terbaik untuk memupuk amalan membaca?

Di bawah, kami kongsikan beberapa tip untuk anda mengamalkan amalan membaca secara konsisten.

1. Pastikan anda mempunyai sasaran

Mulakan dengan menyasarkan berapa buah buku yang ingin dibaca dalam tempoh sebulan atau setahun. Sebagai contoh, pasang azam untuk membaca buku sebulan sekali untuk mencapai jumlah kumulatif sebanyak 12 buku setahun.

Pilih buku yang anda gemari tidak kiralah apa jua genrenya. Ini akan memudahkan proses pembacaan dan membuatkan anda tidak cepat bosan.

2. Bawa buku ke mana-mana

Ke mana sahaja anda pergi, cuba biasakan diri untuk membaca sebuah buku bersama anda. Jika anda perlu menunggu, sebagai contoh di dalam LRT, anda boleh keluarkan buku tersebut dan membacanya untuk mengisi masa lapang.

3. Peruntukkan masa untuk membaca

Sebagai permulaan, cuba peruntukkan masa untuk membaca selama 30 hingga 40 minit sehari. Tutup semua peralatan elektronik seperti televisyen dan jauhkan diri daripada telefon bimbit semasa anda membaca.

4. Baca buku yang menarik

Kadangkala, kita rasa sukar untuk meneruskan pembacaan kerana bahan bacaan yang dipilih terlalu berat atau tidak menepati citarasa kita.

Jika anda sukakan bahan bacaan yang ringan, tidak ada masalah jika anda memilih untuk membaca surat khabar ataupun majalah setiap hari.

5. Cari teman yang suka membaca

Pasangan anda juga suka membaca? Kalau begitu, tidak ada masalah untuk anda teruskan minat baharu ini. Walau bagaimanapun, jika anda tidak mempunyai ahli keluarga atau kawan-kawan yang suka membaca, jangan risau…semuanya berada di hujung jari anda!

Laman sosial seperti Facebook dan Instagram kini dipenuhi oleh mereka-mereka yang minat membaca. Apabila anda dikelilingi oleh orang yang mempunyai hobi yang sama, lebih mudah untuk anda mencapai sasaran bacaan anda.

Malah, mereka juga boleh membuatkan anda kekal fokus. Anda juga mungkin boleh bertukar-tukar pendapat mengenai buku yang anda baca dengan orang lain.