‘Pusaka’ Filem Seram Penyiasatan Dari Astro Shaw

Astro Shaw terus rancak menerbitkan filem buat pengemar filem tempatan apabila hadir dengan naskah seram terbaharu, Pusaka yang bakal berada di pawagam bermula 31 Oktober ini.

Pusaka yang diarahkan oleh Razaisyam Rashid ini dibintangi oleh Syafiq Kyle, Mimi Lana, Faizal Hussein, Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Hafidz Roshdi, Sweet Qismina, Draman Muhammad, Aloy Paradox, dan Yuna Rahim.

Filem Pusaka bukanlah sekadar filem seram yang biasa dihasilkan, tetapi ia punya keistimewaan tersendiri di mana elemen penyiasatan dan aksi digabungkan dalam satu cerita.

Berkongsi tentang cerita belakang tabir, filem yang berasaskan idea asal dari Natasha Chopra ini telah dikembangkan oleh penulis in-house Astro Shaw. Mereka telah mengembangkan plot, struktur dan perwatakan sehingga terhasilnya skrip akhir yang telah ditulis sepenuhnya oleh Anwari Ashraf dan Alfie Palermo.

Proses penulisan skrip filem ini berlangsung di dalam sesi intensif writer’s room yang di ketuai oleh Anwari Ashraf yang merupakan penulis filem Paskal, Polis Evo 1 & Polis Evo 2. Filem ini  telah menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Batu Gajah, Taiping dan Gopeng.

Menurut pengarahnya Razaisyam Rashid, dia menerima tawaran untuk mengarah Pusaka kerana skrip yang dihasilkan adalah antara yang terbaik yang pernah dibacanya.

“Saya sangat-sangat teruja apabila diberi peluang untuk mengarahkan filem Pusaka, salah satu sebab saya menerima tawaran ini adalah kerana skrip yang dihasilkan adalah antara yang terbaik yang pernah saya baca dan lain dari yang lain.

Konsep filem ini menggabungkan elemen penyiasatan dan mistik. Ianya seolah-olah memberi rasa keresahan yang mendalam kepada penonton”, ujar Razaisyam yang menjadikan filem The Exorcist, The Conjuring, Prisoners & Nocturnal Animal sebagai rujukan dalam mengarahkan filem ini.

Filem Pusaka telah menelan belanja sebanyak RM2 juta dan telah menjalani penggambaran selama 30 hari. Melalui naskah ini juga, pihak penerbit berjaya mendapatkan khidmat komposer berpengalaman Dato’ Wah Idris untuk menghasilkan lagu tema filem Pusaka.

Pusaka mengisahkan tentang Inspektor Nuar Ishak lakonan Syafiq Kyle yang telah menemui mayat wanita bernama Balqis dan Qistina (Sweet Qismina) pasangan kembar yang terkurung di sebuah rumah tinggal dan memerlukan siasatan penuh oleh pihak polis yang diketuai oleh Inspektor Nuar.

Semenjak itu, setiap langkah Nuar dihantui pelbagai kelibat, gangguan dan kematian. Walaupun merasakan dirinya semakin hilang pertimbangan di samping mempunyai permasalahan dengan adik kembarnya Nur (Mimi Lana), dia harus menyelesaikan kes ini sebelum ada nyawa yang hilang.

Pusaka merupakan sebuah produksi dari Alpha47 Films dan terbitan Astro Shaw dan Director’s Think Tank.

Foto : Astro Shaw