Pusat Islam Rijeka, Croatia – diiktiraf antara bangunan keagamaan tercantik di Eropah!

Masjid Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Pusat Islam Rijeka, Croatia - diiktiraf antara bangunan keagamaan tercantik di Eropah!
Pusat Islam Rijeka, Croatia - diiktiraf antara bangunan keagamaan tercantik di Eropah! © visitrijeka.hr

Pada tahun 2013, sebuah masjid yang juga pusat Islam telah dibuka buat pertama kalinya di pesisir laut Adriatik. Masjid dan pusat Islam ini dikenali sebagai Pusat Islam Rijeka (Rijeka Islamic Centre) di Croatia.

Ini kisah menarik di sebalik pembinaan pusat Islam tersebut.

Sejarah ringkas pembinaan masjid dan pusat Islam di Rijeka

Hasrat untuk membina Pusat Islam Rijeka di bandar pelabuhan ini telah lama menjadi impian masyarakat Muslim di sini sejak tahun 1968.

Tidak seperti kebanyakan rekaan bangunan lain yang menggunakan khidmat arkitek, bangunan Pusat Islam Rijeka ini direka oleh seorang pengukir terkenal Croatia iaitu Dusan Dzamonja. Beliau terkenal sebagai pembuat arca-arca yang bersifat abstrak.

Pada tahun 2009, batu asas pembinaan Pusat Islam Rijeka ini telah diletakkan oleh Emir Qatar pada ketika itu, Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani. Ini kerana sebahagian besar kos pembinaan pusat Islam ini disumbangkan oleh Kerajaan Qatar.

Pada tahun 2013, masjid dan pusat Islam ini telah siap dibina dan dibuka kepada orang ramai secara rasmi. Sewaktu perasmian pembukaannya, sekitar 20,000 hingga 30,000 tetamu telah hadir dari seluruh pelusuk dunia untuk menyaksikan detik bersejarah itu.

Pembukaan masjid ini dilakukan oleh Presiden Croatia sendiri dan turut dihadiri oleh beberapa kenamaan lain. Antara kenamaan lain yang turut hadir sewaktu majlis pembukaan tersebut ialah:

  • Bakir Izetbegovic, Presiden Bosnia-Herzegovina yang mewakili etnik Bosniak
  • Mubarek Al-Kuwari, Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar
  • Josip Leko, speaker Parlimen Croatia
  • Husein ef. Kavazovic, pemimpin masyarakat Muslim di Bosnia-Herzegovina
  • Mufti Dr. Aziz ef. Hasanovic, pemimpin masyarakat Muslim di Croatia
  • Paul Vandoren, Presiden delegasi Kesatuan Eropah di Croatia

Struktur dan seni bina Pusat Islam Rijeka

Seni bina masjid ini jelas sekali menggunakan konsep yang moden dan minimalis. Ia tidak mempunyai sebarang kubah seperti yang terdapat pada masjid-masjid yang biasa kita lihat.

Namun, bangunan masjid ini sendiri adalah berasaskan kepada bentuk kubah yang melengkung. Ia juga mempunyai sebuah menara dengan ketinggian 23 meter.

Pusat Islam Rijeka memiliki pelbagai fasiliti yang lengkap. Ia mempunyai sebuah masjid, dewan serba guna, bilik syarahan, tadika kanak-kanak, perpustakaan, pejabat-pejabat, ruang makan, rumah tetamu, kelas, gelanggang bola keranjang, kafeteria serta ruang tempat letak kenderaan.

Fasiliti yang pelbagai ini menjadikan Pusat Islam Rijeka sebagai pusat perkumpulan komuniti yang bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh orang Islam tetapi juga mereka yang berlainan agama.

Pusat Islam Rijeka antara bangunan keagamaan tercantik di Eropah

Pihak media menggelar pusat Islam ini sebagai ‘Masjid di atas Laut Adriatik’. Perlu diketahui bahawa masjid ini adalah bangunan masjid pertama yang didirikan di pesisir pantai Laut Adriatic sejak Empayar Uthmaniyah meninggalkan kawasan ini 500 tahun yang lalu.

Ia dianggap sebagai antara bangunan keagamaan yang tercantik di seluruh Eropah.

Impian lama masyarakat Muslim memiliki masjid

Setelah menunggu sekian lama sejak tahun 1968, akhirnya masyarakat Islam yang menetap di Bandar Rijeka mempunyai pusat ibadat mereka sendiri.

Sememangnya masyarakat Islam di sini memerlukan masjid utama mereka memandangkan jumlah penduduk Muslim di sini agak ramai. Dianggarkan sekitar 10,000 orang Islam menetap di Bandar Rijeka dan kawasan sekitarnya.

Kesabaran mereka menunggu untuk mendapatkan sebuah masjid akhirnya tercapai. Masjid yang dibina bukan sahaja luas dan lengkap, malah mempunyai seni bina antara yang tercantik di Eropah.