Pusat percetakan al-Quran di Malaysia

Al-Quran Zalika Adam 02-Nov-2020
nasyrulquran.com
Al-Quran Malaysia, surah al-Fatihah © nasyrulquran.com

Pusat Percetakan al-Quran di Malaysia merupakan yang ke-2 terbesar di dunia, iaitu selepas Pusat Percetakan al-Quran al-Malik Fahd di Madinah, Arab Saudi. Lokasinya ialah di Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14, Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Operasinya telah bermula pada 13 Jun 2017, dirasmikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid (Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu).

Kepakaran teknik kaligrafi, mengesahkan kesucian al-Quran

Ustaz Abdul Baki Abu Bakar (pakar runding khat Yayasan Restu) menggunakan kepakaran teknik kaligrafinya apabila terlibat dengan penulisan al-Quran mashaf Malaysia ini. Bakatnya sudah dipupuk sejak zaman sekolah lagi. Usaha penulisannya bermula dan siap pada hujung tahun 1997. Pada tahun 2000, Quran ini telah  dilancarkan.

Ustaz Mohd Amar Abd. Hamid merupakan salah seorang pentashih (tashih maknanya pengesahan) yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan penelitian, semakan akhir dan pengesahan. Proses tashih ini bagi memastikan kesucian al-Quran terpelihara, dalam masa yang sama pembaziran dapat dielakkan.

Ramai yang menyalin al-Quran tetapi Qurannya tidak dapat dicetak kerana tidak ditashih dan disemak dengan betul. Maka proses penyemakan adalah perkara besar yang perlu diambil perhatian.

Pendekatan yang digunakan di pusat percetakan ini ialah memastikan setiap huruf, perkataan dan ayat disemak dengan baik daripada mula, sehingga proses mencetak.

Keistimewaan al-Quran Malaysia

  • Penulisannya secara berkumpulan dengan menggunakan tenaga pekerja tempatan
  • Corak hiasan al-Quran beriluminasi penuh menggunakan tampak Melayu
  • Tema Melayu iaitu sulur bayung digunakan dalam mengindahkan al-Quran
  • Batang pokok resam (tumbuhan paku pakis) digunakan sebagai pena untuk menulis ayat-ayat al-Quran, dipanggil ‘handam’
  • Motif asas hiasan menggunakan konsep pengulangan, diambil dari konsep zikir dengan menyebut nama Allah (simbolik kepada sifat Allah yang Qadim)
  • Kekerapan semakan dibuat bagi mengelakkan kesilapan berlaku
  • Salinan mashaf dalam format pdf dan helaian cetakan biru diteliti
  • Warna yang digunakan dikaji dengan mendalam
  • Kertas asli ‘First origin’ daripada hutan, bukan kertas terpakai digunakan untuk membuat al-Quran
  • Mendapat pengesahan daripada Bahagian Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan integritinya
  • Pusat cetakan al-Quran ini mampu mengeluarkan 1 juta naskhah al-Quran setahun, untuk kegunaan domestik dan antarabangsa
  • Proses percetakan al-Quran menggunakan 90% mesin yang nilainya jutaan ringgit

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyaknya.”

(Surah al-Kahfi, ayat 109)

Oleh itu, sejarah penyalinan al-Quran amat penting di Malaysia. Sehingga kini, 10 manuskrip telah disalin, disemak dan dicetak. Al-Quran yang dihasilkan pada dua dekad lalu kini disimpan di bilik kebal, Kompleks Kesenian Islam Antarabangsa, Selangor.

Penyalinan al-Quran merupakan sunah dan tunggak berterusan. Inilah caranya kita hendak menghebahkan ketamadunan Islam yang menjadikan ‘Seni Tampak Melayu’ terkenal di nusantara dan dunia. Pusat percetakan al-Quran ini menjadi kebanggaan dan kejayaan yang terbesar buat Malaysia dalam dunia Islam.