Qiamullail ibadah yang dituntut

Suasana normal lama beramal di malam Ramadan © Ahmad Fadly Ibrahim | Dreamstime.com

Amalan Qiamullail adalah satu ibadat yang sangat dituntut. Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu berqiamullail (bertahajjud) kerana ia merupakan perjalanan orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya qiamullail mendekatkan kamu kepada Allah, menghalang melakukan dosa, kifarah di atas kejahatan dan mencegah penyakit daripada badan.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Terdapat beberapa pentakrifan Qiamullail:

Mengisi sebahagian malam dengan ketaatan – Sesetengah ulama berpendapat Qiamullail ialah apabila seseorang menggunakan sebahagian besar waktu malamnya dengan mengerjakan ibadah dan berbagai ketaatan seperti tarawih, tilawah Al-Quran, berselawat, bertasbih dan sebagainya.

Pengisian waktu malam –Qiamullail juga difahami sebagai mengisi waktu malam walaupun seketika dengan ibadah solat atau ibadah-ibadah lain dan tidak disyaratkan melakukannya sepanjang malam. (Rujukan Ensiklopedia Fiqah Kuwait)

Solat Isyak dan Subuh berjemaah – Ibnu Abbas r.a. pula berpendapat Qiamullail itu boleh diperolehi dengan solat Isyak berjemaah dan seseorang itu mempunyai azam untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Sebaiknya Qiamullail dilakukan pada satu pertiga malam hari. Rasulullah SAW bersabda: “Pada setiap malam, Allah, Tuhan kami turun ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam yang akhir. Maka Allah berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti akan Aku kabulkan, dan siapa yang memohon kepada-Ku, pasti akan Aku beri, dan siapa yang mohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan ampuninya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Antara kelebihan Qiamullail ialah Allah SWT menjanjikan syurga-Nya. Allah berfirman dalam surah Al-Isra’, ayat 79: “Dan bangunlah pada sebahagian waktu malam serta kerjakanlah solat Tahajud padaNya, sebagai solat tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

Allah SWT juga akan memberikan ganjaran kebaikan dan rahmat-Nya. Perintah Allah dalam surah Al-Dhariyat, ayat 15-18: “Sesungguhnya orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air – mata air terpancar padanya. Mereka sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon keampunan).”

Maka pada ketika Ramadan telah semakin sampai ke penghujungnya, marilah kita sama-sama mengambil peluang untuk berniat dan seterusnya melakukan Qiamullail seikhlas mungkin, setiap malam bersama keluarga.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!