‘Que Sera Sera’ Taruhan Pendatang Baru Layla Sania

Pendatang baru, Layla Sania, 17, mempertaruhkan single ‘Que Sera Sera’ untuk memulakan perjalanan kariernya sebagai penyanyi arus perdana.

Layla merupakan antara angkatan artis generasi baru yang bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Muzik Malaysia.

‘Que Sera Sera’ yang merupakan ungkapan daripada bahasa Sepanyol ini membawa maksud ‘Apa yang akan terjadi, pasti terjadi’ dan ia merupakan karya ciptaan Layla sendiri bersama bapanya Khairuzikri yang menggunakan nama pena, Mystictune.

Menjanjikan suatu kelainan daripada muzik di pasaran arus perdana, lagu rancak yang menyuntik elemen muzik jazz dan blues ini mendapat sentuhan figura muzik terkenal AG Coco sebagai penerbit.

Biarpun rancak, lirik lagu yang ditulis oleh Zazaez ini diisi dengan bait-bait lirik yang bercerita tentang cinta dan kecewa dan ia terinspirasi daripada kisah peribadi Layla sendiri.

“Lagu ini ditulis ketika Layla baru mengenal erti cinta dan kecewa di usia remaja. Lirik lagu ini ditulis lebih kepada pesanan peribadi kepada rakan sebaya yang baru mahu mengenal erti kehidupan.”

Mesej yang ingin sampaikan adalah cinta memang indah, namun ianya bukan segala-galanya. Diri sendiri adalah lebih berharga. Sebagaimana cinta boleh datang dan pergi, hidup ini juga ada pasang surutnya.”

Setiap yang Allah tetapkan terjadi, pasti akan terjadi. Sebaiknya kita laluinya sehabis baik dan serahkan pada Yang Maha Esa”,” ujar Layla yang juga aktif dalam bidang lakonan dan teater.

Ditanya tentang harapannya untuk ‘Que Sera Sera,’ Layla memberitahu dia berharap agar taruhan pertamanya ini mendapat reaksi positif peminat muzik tempatan sekaligus memeriahkan lagi industri muzik tanahair.

Single ‘Que Sera Sera’ terbitan dan edaran Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music.

 

5 perkara tentang Layla Sania

Nama sebenar : Layla Sania binti Khairuzikri

Sekolah : Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chong Hwa, Kuala Lumpur

Pencapaian : Juara MBP Singing Competition 2018

Drama / telemovie : Bangkitnya Seorang Perempuan (2013) dan Telefilem Cucu Tok Aki (2012)

Idola : Amy Winehouse dan Duffy

Kredit foto : Warner  Music Malaysia