Rabiatul Adawiyah wajar jadi aspirasi Muslimah

Kepercayaan Abi Aasim 20-Jul-2020
Sebuah Ilustrasi sastera mengenai Rabiatul Adawiyah © By Public Domain, Link

Umm Al-khair binti Ismail al-Adawiyah atau lebih dikenali Rabiatul Adawiyah r.a tersenarai sebagai wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Beliau dilahirkan sekitar tahun 99 Hijrah / 717 Masihi di Iraq. Rabiatul Adawiyah wafat di kota yang sama beliau dilahirkan. Meskipun beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin, namun beliau sangat kaya dengan ibadahnya kepada Allah SWT.

Kebijaksanaan Rabiatul Adawiyah r.a jelas terserlah sejak dari kecil lagi. Rabiatul Adawiyah telah berjaya menghafal Al-Quran ketika menjangkau usia 10 tahun meskipun kehidupannya sama seperti kanak-kanak lain yang selalu bermain. Sewaktu usia kecilnya, Rabiatul Adawiyah sering  dibawa oleh bapanya untuk beribadat dan bermunajat di masjid.

Kehidupan Rabiatul Adawiyah r.a semakin susah dan bertambah sempit setelah kematian kedua-dua ibu bapanya. Ketiga-tiga orang kakaknya juga meninggal dunia akibat kelaparan yang melanda. Setelah itu, Rabiatul Adawiyah telah dipelihara oleh seorang lelaki yang kejam dan dijual sebagai hamba kepada seorang majikan yang sangat bengis.

Pada usia yang sangat muda, Rabiatul Adawiyah r.a telah dikerah tenaganya untuk melakukan kerja-kerja  yang diperintahkan oleh tuannya. Namun, Rabiatul Adawiyah tidak pernah lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT pada sebelah malamnya.

Pada suatu malam ketika Rabiatul Adawiyah r.a sedang berdoa kepada Allah SWT, majikannya telah melihat tanda kebesaran rohani beliau. Majikannya ternampak satu cahaya menghampiri kepala Rabiatul Adawiyah. Melihat kejadian itu majikannya menjadi takut dan telah memerdekakakn Rabiatul Adawiyah pada keesokan harinya.

Selepas dimerdekakan, Rabiatul Adawiyah r.a telah pergi ke tempat-tempat yang sunyi untuk beribadah kepada Allah SWT. Setelah sampai di sebuah pondok berdekatan Kota Basra, Rabiatul Adawiyah hidup seperti bertapa. Ketika itu Rabiatul Adawiyah hanya memiliki segulung tikar, sebuah kendi yang diperbuat daripada tanah dan seketul batu bata.

Setiap kali Rabiatul Adawiyah r.a mengajar anak muridnya,  kata-kata nasihat acapkali diberikan. Antara kata-kata nasihat yang diberikan oleh Rabiatul Adawiyah adalah agar  tidak menunjukkan perbuatan baik  kepada sesiapa pun, malahan mereka diharuskan untuk  menutup  perbuatan baik itu sebagaimana mereka menutup perbuatan jahat mereka.

Terdapat beberapa perkara dari kisah Rabiatul Adawiyah r.a yang boleh diteladani oleh kaum Hawa. Antaranya ialah:

  • Sentiasa bersyukur kepada Allah SWT
  • Membiasakan bertaubat kepada Allah SWT
  • Berserah diri kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya
  • Bersikap Zuhud, iaitu lebih cintakan akhirat (tidak pentingkan kekayaan dunia)

Sebagai manusia biasa yang penuh kelemahan, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Namun pengajaran yang besar dari kisah Rabiatul Adawiyah r.a adalah perlunya kita untuk sentiasa bertaubat dan mencari keredaan Allah SWT dengan penuh kesungguhan.