Raffia Arshad, hakim berhijab pertama di United Kingdom

Dunia Hanita Hassan 13-Jul-2020
Hakim Raffia Arshad © Ben P L from Provo, USA - Raffia Arshad, CC BY-SA 2.0, Link

Semenjak dari zaman Nabi Muhammad SAW, umat Islam telah menghadapi pelbagai rintangan dan kesukaran yang luar biasa. Ia tidak pernah berhenti meskipun kita sudah berada pada abad ini.  Walau bagaimanapun, mereka yang beriman kepada Allah SWT sentiasa memperoleh kemenangan.

Ini adalah kisah inspirasi tentang keberanian seorang Muslimah mengubah wajah badan kehakiman di salah sebuah negara paling berkuasa di dunia.

Pada Mei 2020, kisah mengagumkan tentang wanita Muslim yang berusia 40 tahun ini mendapat tempat di tajuk-tajuk utama berita di serata ceruk United Kingdom of Great Britain (UK). Raffia Arshad dilantik sebagai timbalan hakim daerah pertama di UK yang memakai hijab. Sekali lagi, rekod pencapaian tertinggi bagi wanita Muslim telah dapat dipecahkan.

Baru-baru ini, Raffia telah dilantik sebagai hakim mahkamah daerah di Midlands. Beliau juga merupakan ahli Persatuan Pengamal Undang-undang St Mary’s di Nottingham. Perkembangan ini sangat mengujakan berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia. Meskipun berada di puncak pencapaiannya, beliau tidak pernah gagal untuk mempromosikan Islam dan memperkukuh kepercayaan kepada Allah SWT.

Dalam ucapannya, hakim dari Burton-upon-Trent, England ini menyatakan bahawa:  “Saya tidak hanya melihat ini sebagai pencapaian peribadi, tetapi lebih besar daripada itu…sebagai jalan bagi wanita Islam untuk berjaya dalam bidang undang-undang.  Saya berasa sedikit terasing daripada menjadi diri saya.  Apa yang penting, saya akan memastikan ia menyuntik inspirasi kepada orang lain tanpa mengira latar belakang mereka. Meskipun ia mengambil masa yang panjang untuk sampai ke tahap ini, namun saya gembira.  Ini adalah pencapaian terbesar bagi sesiapa sahaja daripada pelbagai latar belakang.”

Selain menjadi hakim pertama di United Kingdom yang mengenakan hijab, Raffia juga telah mencatat banyak pencapaian lain pada masa lalu.  Contohnya, beliau adalah orang pertama dalam keluarga yang masuk universiti.  Seorang ibu penyayang kepada tiga cahaya mata dan isteri yang setia, Hakim Raffia juga sangat berterima kasih kepada suaminya kerana menyokong beliau dalam mengejar cita-cita.  Begitulah indahnya Islam, yang sentiasa menganjurkan kita untuk menghargai pasangan.

Aspek lain yang mengujakan tentang Hakim Raffia bukan sahaja tentang hijab, tetapi lebih daripada itu.  Beliau menggunakan amalan undang-undang untuk mempromosi Islam dan salah satu cara mentaati Allah SWT.  Ini juga menjelaskan mengapa beliau pakar dalam bidang undang-undang keluarga Islam yang telah dilakukannya sejak hampir 20 tahun.

Kisah tentang Hakim Raffia Arshad membuktikan bahawa sebagai umat Islam, kita pasti menghadapi banyak cabaran dan kesukaran di dunia ini.  Namun selagi mana kita tetap teguh berada di jalan Islam, maka Allah SWT akan sentiasa memberi kita kemenangan.

Semoga Allah SWT memudahkan semua urusan kita di dunia dan akhirat, insya-Allah.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!