Raihan Tampil Perkenal Haruman Adam Dan Hawa

Raihan, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Membina kerjaya sejak 23 tahun lalu, populariti kumpulan yang menjadi perintis irama nasyid kontemporari ini merentas sempadan melebihi 2 dekad.

Masih kekal relevan dengan lagu-lagu nasyid popular mereka, Raihan kini mengorak selangkah lagi ke hadapan apabila tampil melancarkan haruman khusus untuk lelaki dan wanita yang dinamakan Haruman Adam dan Haruman Hawa.

Dilancarkan dengan kolaborasi bersama Sugarbomb, peneraju pengeluar wangian yang cukup dikenali di Malaysia, idea untuk menghasilkan minyak wangi berkenaan tercetus kerana merasakan perlunya ada haruman yang bebas alkohol untuk pengguna Islam.

“Menyedari sensitiviti penggunaan minyak wangi yang kebanyakannya mengandungi alkohol, ia memberikan idea kepada kami untuk menghasilkan haruman ini.

“Kemudian, ketika kami berada di Singapura, secara tidak sengaja kami terjumpa ahli kumpulan Raihan dan perbincangan terus dibuat.

“Akhirnya, setelah beberapa bulan, mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan kami,” ujar Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbomb, Ahmad Azhari Rosli.

Sementara itu, salah seorang anggota Raihan, Che Amran Idris menjelaskan, mereka bersetuju untuk bekerjasama kerana melihat kesungguhan sebuah syarikat yang diterajui anak muda untuk menghasilkan sebuah produk untuk pengguna Islam.

Ujarnya, segala urusan bagi proses menghasilkan produk haruman tersebut berjalan dengan mudah dan pihaknya sangat berbesar hati dengan kerjasama itu.

“Bagi kami ia adalah anugerah Allah untuk kerjasama yang terjalin ini. Bermula daripada pertemuan yang tidak dirancang, akhirnya haruman Raihan ini telah berjaya dihasilkan.

“Kami melihat kerjasama ini merupakan satu gabungan yang mantap antara Raihan dan Sugarbomb dan berharap produk ini akan diterima ramai, khususnya umat Islam,” jelasnya.

Didatangkan dalam tiga varian bagi setiap 6ml haruman, set Haruman Adam menampilkan tiga pilihan iaitu Bilal, Zamrud dan Abbas, manakala set Haruman Hawa pula menampilkan Wardah, Haura dan Raudhah.

Abbas, wangian yang diinspirasikan khusus untuk lelaki bekerjaya, mengandungi nota vanila Madagascar, pudina dan kehangatan rempah tonka bean.

Sensasi haruman kasturi memberikan aura tersendiri buat si pemakai.

Sementara itu, bagi penggemar bauan yang mencerminkan identiti maskulin, Bilal pasti menjadi pilihan yang tepat.

Dihasilkan dengan paduan nota bunga damar, kulit kayu dan rempah semula jadi, ia menerbitkan aroma mengagumkan, sekali gus mencerminkan aura maskulin si pemakai.

Manakala Zamrud pula dihasillkan dengan fokus si pemakai sebagai tarikan utama. Ia menggabungkan nota yang menerbitkan aura positif dan ceria serta bersesuaian dengan gaya hidup lelaki urban yang kreatif, muda dan moden.

 

Bagi rangkaian Haruman Hawa pula, Haura menjadi haruman yang wajib dimiliki setiap wanita yang mementingkan keterampilan dan identiti diri.

Sementara Raudhah menggabungkan sensasi nota limau mandarin, lilac dan kasturi. Ia dirumus khas untuk wanita yang mementingkan aura glamor dan elegan.

Akhir sekali, Wardah menggabungkan bau-bauan berasaskan buah-buahan dengan gabungan aroma pic dan pear yang menerbitkan bauan manis serta lembut untuk menyerlahkan aura pemakai.

Setiap haruman didatangkan dalam botol 6ml dan dijual pada harga RM50 untuk satu set haruman.

Keterangan lanjut mengenai Haruman Adam dan Haruman Hawa boleh didapati dengan menghubungi talian 018-9009 750, atau melawati Instagram: @sugarbombhq /@harumanraihanofficial.

Foto: Sugarbomb & Instagram Haruman Raihan