Rakaman sejarah lewat penulisan satu wadah dakwah

Seni Hanita Hassan 14-Mei-2020
Merakam sejarah melalui penulisan © Sharpshutter | Dreamstime.com

Seorang pengkarya yang bijak sentiasa mengambil peluang merakam peristiwa penting yang berlaku di sekeliling dalam karya-karyanya. Sebuah karya yang baik dan mempunyai jiwa hanya boleh dihasilkan oleh penulis yang kaya dengan pengalaman dan pernah melalui sejarah yang besar.

Karya sastera tidak terhasil dalam kekosongan sosial.  Karya sastera ialah gambaran akan realiti masyarakat serta zaman karya itu dihasilkan. Sebagai salah seorang anggota penting masyarakat ketika itu, apa yang diluahkan oleh pengkarya biasanya adalah gambaran kepada realiti sosial yang wujud.

Kegemilangan Islam di Nusantara tidak akan disebut generasi kini sekiranya Tun Seri Lanang tidak merakam semua peristiwa yang berlaku pada zaman tersebut.  Betapa besar dan kayanya Kerajaan Melayu Melaka telah digambarkan dalam buku Sulalatus Salatin  atau Sejarah Melayu sehingga menjadi sumber rujukan bagi para pengkaji tentang peradaban Tamadun Islam Beraja.

Kejayaan  Islam membina tamadun di Kota Andalusia pada 711M sehingga ke tampuk kerajaaan Nasriyyah atau Bani Ahmar yang mengakhirinya pada 1492M turut terakam kehebatannya untuk diambil iktibar kepada kita sebagai umat Islam hari ini.

Kehadiran pandemik wabak koronavirus juga telah memberi inspirasi kepada para pemuisi menghasilkan puisi dan para pengkarya cerpen merakam sejarah tragik ini dalam bentuk karya kreatif.

Karya puisi yang dapat menenangkan hati, berunsur ketuhanan dan penuh pengajaran adalah satu bentuk dakwah yang dilakukan secara tidak langsung.  Bait-bait perkataan yang dapat difahami jika dipasak dalam hati boleh menghadirkan kesan pada diri pembaca.  Apabila disampaikan atau disebarkan, dakwahnya akan tersebar luas mencakupi jumlah yang lebih ramai.

Filem dan lukisan juga boleh menjadi wadah untuk anda sebagai pengkarya menyebarkan dakwah. Untuk sampai ke tingkat pendakwah, anda perlu memahami makna sebenar dakwah.  Ini terkait dengan firman Allah SWT dalam al-Quran yang memberitahu bahawa  tujuan manusia dicipta adalah untuk beribadah kepada-Nya.

Karya seni adalah landasan terbaik untuk menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT. Karya yang baik boleh dijadikan teladan dalam mengagungkan kebesaran Ilahi, menyeru manusia melakukan kebaikan dan mencegah perbuatan keji.

Nabi Muhammad SAW menggalakkan budaya menulis dalam usaha memelihara wahyu. Semasa Rasulullah SAW di Madinah, Baginda menggalakkan penulisan dan mendorong lebih ramai umat Islam belajar menulis.  Ini dirakamkan semasa perang Badar di mana setiap tawanan perang dalam kalangan Quraisy Mekah yang ingin dibebaskan hendaklah terlebih dahulu mengajar 10 kanak-kanak di Madinah.

Usaha ini dilakukan dengan harapan berlakunya pertambahan jumlah penulis dalam kalangan masyarakat Islam.  Akhirnya Rasulullah SAW mempunyai 40 penulis yang kebanyakannya penulis wahyu sebelum al-Quran sempurna diturunkan kepada Baginda.

Hakikatnya dakwah boleh dilakukan dengan pelbagai cara.  Kesungguhan serta niat adalah teras penting agar mesej dakwah dapat sampai kepada masyarakat. Tugas menyeru manusia ke jalan Allah SWT adalah kewajipan kita terutama dalam zaman kecanggihan teknologi yang terdedah dengan serangan jahat musuh-musuh Allah SWT. Semoga kita terpelihara dan dilindungi-Nya dalam melakukan dakwah.