Ramadan 1442 Hijrah – apa yang kita mahu pada Ramadan tahun ini?

Acara Tari Basir
Pendapat oleh Tari Basir
Ramadan 1442 Hijrah - apa yang kita mahu pada Ramadan tahun ini?
Ramadan 1442 Hijrah - apa yang kita mahu pada Ramadan tahun ini? © Omei26 | Dreamstime.com

Alhamdulillah, Ramadan 1442 Hijrah telah pun tiba! Ini merupakan Ramadan kedua yang disambut ketika pandemik virus COVID-19. Walaupun virus ini dilihat belum reda, namun sekurangnya telah berlaku pengurangan. Vaksin telah pun berjaya dicipta dan sebahagian penduduk dunia telah pun menerima suntikannya.

Di Malaysia, pengurangan kes yang berlaku merupakan petanda positif yang berpositif membawa berita baik. Ternyata, petanda positif itu membawa khabar gembira kepada umat Islam di Malaysia, di mana mereka berpeluang meraikan Ramadan yang lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lepas.

Ramadan 1442 Hijrah: Khabar gembira buat peniaga

Masjid dan surau dibuka hampir sepanjang hari, memungkinkan pencarian peluang untuk mereka bertahajud di sana selepas bersahur. Dan juga menunaikan solat sunat Tarawikh secara berjemaah, berbanding hanya di rumah pada tahun lepas. Malahan, rakaat solat tersebut tidak dihadkan bilangannya dan para jemaah bebas mengamalkan sehingga 20 rakaat sekalipun.

Dari sudut yang lain, Ramadan kali ini juga hadir sebagai khabar gembira buat para peniaga. Kerajaan Malaysia telah pun membenarkan bazaar Ramadan beroperasi seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sudah tentu, ia satu peluang kepada mereka untuk mencari rezeki dan menambah pendapatan mereka. Sementelah mereka antara golongan yang terjejas teruk akibat pandemik, terutamanya yang menjadikan perniagaan makanan dan minuman sebagai punca pencarian rezeki yang utama.

Lalu, apa yang sebenarnya kita mahukan pada Ramadan kali ini?

Pandemik yang kekal mengganas sedikit sebanyak telah merosakkan Ramadan umat Islam pada tahun lepas. Meskipun statusnya sebagai antara bulan mulia tetap terpelihara, namun majoriti besar umat Islam tidak dapat meraikan kehadiran Ramadan dengan sapaan yang menghangatkan.

Jauh sekali beramal sepanjangnya seperti bulan-bulan Ramadan terdahulu. Seperti iktikaf di masjid dan surau, menunaikan solat sunat Tarawikh secara berjemaah, berbuka puasa bersama ahli keluarga dan lain-lain lagi.

Maka Ramadan 1442 Hijrah kali ini, Allah Taala memakbulkan doa para hambanya yang mahukan Ramadan kali ini disambut dan dijadikan peluang untuk meraih pelbagai jenis ganjaran pahala.

Oleh itu, peluang yang hadir sebagai rahmat dan nikmat daripada Allah SWT ini perlulah dimanfaatkan sebaiknya. Di samping kekal mematuhi SOP yang ditetapkan kerana perjuangan umat manusia dalam melawan virus durjana ini masih belum selesai.

Sudah tentu, apa yang kita mahukan pada Ramadan kali ini ialah untuk memanfaatkan seberapa banyak peluang yang ada dan meraih seberapa banyak pahala dengan amalan-amalan yang berlipat kali ganda ganjarannya. Agar Ramadan kali ini menjadi jauh lebih baik bukan sahaja daripada Ramadan tahun lepas, namun tahun-tahun yang sebelumnya.

Ramadan 1442H: Jangan jadikan rahmat dan nikmat bertukar istidraj

Setelah bermula Ramadan, sudah tentu apa yang kita mahukan ialah memanfaatkan rahmat dan nikmat Allah SWT ini. Penuhkan hari-hari kita dengan amalan seperti tadarus Al-Quran, bersedekah, bahkan beriktikaf dan menunaikan solat di masjid dan surau yang dahulunya tidak dapat kita tunaikan pada Ramadan tahun lepas.

Apabila kerajaan Malaysia sudah memberikan banyak khabar gembira seperti membuka masjid dan surau sepanjang Ramadan, perniagaan bazaar Ramadan, merentas daerah dan sebagainya, maka jangan sampai rahmat dan nikmat ini bertukar istidraj.

Dengannya kita mengabaikan peluang untuk beramal kerana leka bergembira. Sedangkan pada Ramadan tahun lepas, kitalah orang yang paling sedih kerana tidak berpeluang beramal.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.