Ramadan: Berpuasalah untuk iman dan kesihatan!

Puasa 08 Apr 2021 Contributor
Pendapat oleh Siti Suriani Othman
Ramadan: Berpuasalah untuk iman dan kesihatan!
Ramadan: Berpuasalah untuk iman dan kesihatan! © Mohamad Faizal Ramli | Dreamstime.com

Tidak lama lagi seluruh umat Islam di dunia ini akan menyambut Ramadan. Ahlan ya Ramadan! Bersempena dengan kedatangan Ramadan yang ditunggu-tunggu, artikel ini akan menyentuh tentang konsep puasa dalam Islam dan kepentingan berpuasa daripada perspektif Islam dan sains.

Bulan penuh keberkatan, Ramadan sebenarnya menawarkan pelbagai hikmah kepada umat manusia. Ia mencabar umat Islam untuk kekal istiqamah dalam beribadah sungguhpun di luar Ramadan.

Puasa bulan Ramadan adalah salah satu rukun Islam. Dari segi bahasa puasa bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu. Dari segi syarak pula puasa bermaksud menahan diri pada waktu siang daripada melakukan perkara-perkara tertentu bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari.

Benarkah puasa itu bagus untuk kesihatan?

Ketika saya di luar negara, ramai rakan-rakan yang bukan beragama Islam bertanyakan soalan berkaitan puasa seperti, “Adakah anda tidak lapar dan mati kerana tidak makan seharian?” atau “Tidakkah badan anda tidak terhidrasi kerana tidak minum air sepanjang hari?”.

Jawapannya tidak sukar kerana saya katakan, “Jika anda masih boleh berkomunikasi dengan saya sekarang, maksudnya saya belum mati,” yang saya jawab secara berseloroh.

Sebenarnya, banyak manfaat puasa yang patut kita tahu. Pengetahuan ini penting bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk disebarkan kepada golongan bukan Muslim yang mungkin masih pelik dengan ibadah yang satu ini.

Umumnya, berpuasa mampu merehatkan organ dalam badan yang bekerja setiap saat sepanjang masa untuk mengekalkan fungsi badan. Dengan berpuasa, organ-organ boleh kurang bekerja dan pastinya akan lebih produktif selepas sebulan ‘berehat’.

Kebaikan berpuasa dari perspektif sains telah dibincangkan oleh saintis sejak awal 90-an lagi. Perbincangan merangkumi aspek manfaat puasa dan kesannya kepada kesihatan, baik positif mahupun negatif.

Dalam satu persidangan pada 1994 di Maghribi, saintis sepakat menyimpulkan bahawa berpuasa tidak sekali-kali memudaratkan kesihatan malah mampu mencegah dan menyembuhkan pelbagai penyakit.

Kesan positif berpuasa untuk iman dan kesihatan

Antara kesimpulan daripada kajian tentang manfaat berpuasa yang dibentangkan dalam seminar ini ialah puasa memberi memberi kesan positif terhadap metabolisme tubuh badan dan menjadi pencegah kepada serangan pelbagai penyakit khususnya gejala lebihan gula dan lemak.

Dari segi kecantikan, berpuasa dapat menjadikan kulit lebih sihat kerana pembuangan toksin berlaku semasa proses berpuasa. Ini mengurangkan toksin dalam badan dan menyihatkan badan seluruhnya serta membantu awet muda.

Pastinya sebagai umat Islam, kita sangat bertuah kerana berpuasa itu adalah ibadah yang diwajibkan.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pelbagai hikmah berpuasa kita kecapi bukan hanya dari kaca mata Allah Taala tetapi juga dari sudut sains. Rugilah kita andai kita tidak menghargai Ramadan, sebagaimana kagumnya saintis Barat terhadap kelebihan berpuasa!