Ramadan dan kembali kepada fitrah

Ramadan - berbuka puasa bersama keluarga © Odua | Dreamstime.com

Ramadan kembali lagi. Bulan istimewa yang penuh kemuliaan dalam kalendar Islam. Bulan keberkatan dan rahmat Allah yang mewajibkan kita sebagai umat Islam berpuasa selama sebulan.

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 183)

Allah SWT menjanjikan kepada umat Nabi Muhammad saw dengan pengampunan dosa-dosa yang lalu. Bersyukurlah kerana anda terpilih berada dalam bulan yang mulia ini. Bulan yang dijanjikan Allah SWT sebagai Syahrul Magfirah, bulan keampunan dan Syahrul Najah iaitu bulan kemenangan dan pembebasan daripada api neraka.

Puasa juga boleh diterjemah sebagai ibadah jasmani dan rohani. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan nafsu dan menjaga sahsiah diri dalam konteks rohani.

Ramadan diraikan adalah waktu terbaik untuk anda menggandakan pahala, memohon keampunan, berpuasa di siang hari dan menghidupkan malam-malamnya. Inilah waktu untuk anda bermuhasabah diri melihat kembali segala kelemahan diri dan dosa-dosa yang dilakukan pada bulan terdahulu.

Kalau pada bulan lain anda tidak berkesempatan ke masjid dan solat berjemaah. Inilah masanya untuk anda mengambil kesempatan melakukan sembahyang fardu berjemaah, tarawih (qiamullail), tadarus dan iktikaf di masjid. Selain itu, amalan bersedekah juga amat digalakkan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 26)

Sedekahlah dengan apa yang anda ada. Jika anda mampu menginfakkan sebiji batu sekalipun untuk tujuan pembinaan sebuah masjid, Allah SWT akan membalasnya dengan sebuah istana dalam syurga kerana kejujuran dan keikhlasan anda.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada satu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa, Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa, Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan sedekah dan kedekut kemusnahan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ramadan juga mengajar kita menginsafi diri atas kekurangan orang lain. Tidak semua dapat berbuka dengan hidangan yang mewah dan lazat. Gunakanlah kesempatan ini untuk memberi makan kepada orang yang berpuasa. Pahalanya sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.

Selamat beribadah kepada semua. Mudah-mudahan, kita menjadi graduan yang bertakwa sepanjang Ramadan. Inilah masanya untuk kita merebut peluang mengumpul sebanyak mungkin kebaikan dan amal soleh untuk bekalan bertemu Allah SWT. Semoga pakej ibadah yang ditawarkan sepanjang Ramadan dapat membantu kita kembali kepada fitrah, suci dan bersih apabila fajar Aidil Fitri menjelma kelak.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!