Ramadan datang bersama kesabaran

Sahsiah Hanita Hassan 27-Apr-2020
Keindahan suatu kesabaran © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Amalan utama di bulan Ramadan yang wajib dilaksanakan adalah berpuasa, menyempurnakan rukun Islam yang keempat.  Puasa adalah diwajibkan kepada umat Islam di seluruh dunia sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kita.

Sejak kecil, kita sudah diberitahu tentang kewajipan berpuasa.  Puasa adalah menahan lapar dan dahaga. Puasa untuk kita menginsafi kesusahan orang lain.  Sekiranya kita dapat berpuasa penuh, ada pula gajaran-ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada kita.

Ibadat puasa amat istimewa kerana nilai pahalanya diberikan secara terus oleh Allah SWT.  Inilah kehebatan puasa.  Allah telah berjanji, balasan kepada orang-orang yang sabar dalam menjalani ibadah puasa ialah syurga.  Ganjarannya cukup banyak.  Nilai dan pahalanya juga berbeza-beza di sisi Allah.

Sabda Rasulullah SAW, “Amalan setiap anak Adam dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda.  Allah berfirman :  “Kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku.  Aku yang membalasnya (tanpa batasan tadi).  Ia (orang yang berpuasa) meninggalkan syahwat dan makanannya kerana aku.”  (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh kerana itu, kita wajib melaksanakan puasa dengan penuh keimanan sambil mengharapkan balasan Allah SWT.  Kita berasa senang berpuasa, bukan terbeban. Kita lakukan dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh.

Kita yakin bahawa Allah SWT memerhati  semua perbuatan dan tindak tanduk kita pada setiap saat sepanjang kita berpuasa.  Sayangnya, ada kalangan kita yang berpuasa tetapi masih melakukan perkara-perkara yang dilarang. Antaranya mengumpat, menyebar fitnah, pembaziran dan mengabaikan tugas dengan alasan berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan rasa lapar.” (HR Ibnu Majah)

Justeru, dalam kita sempurnakan ibadah puasa selama sebulan, kita bukan hanya menahan diri daripada berlapar dan dahaga, tetapi juga menjauhi diri daripada perkara-perkara dosa dan perkara-perkara yang sia-sia.

Allah SWT mensyariatkan puasa pada tahun kedua hijrah ketika sahabat Nabi  SAW dan kaum Muslimin berhijrah ke Madinah.  Pensyariatan puasa dirakamkan Allah SWT dalam surah al-Baqarah bermula dari ayat 183 hingga 187.  Ayat ini mengandungi beberapa perkara penting termasuk syariat yang tidak dimansuhkan kerana kebaikan dan faedahnya kepada kita, umat Nabi Muhammad SAW.

Sebagai hamba Allah yang beriman, inilah masa terbaik untuk kita meningkatkan ketakwaan, iaitu benteng pertahanan ampuh daripada melakukan maksiat, meninggalkan perbuatan makan dan minum serta berjimak di siang hari.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (surah az-Zumar, ayat 39)

Semoga kita semua beroleh takwa, menjadi insan yang sabar, melakukan semua sunnah Rasulullah SAW dan memperoleh begitu banyak ganjaran pahala.  Apabila kita bersabar dalam memahami ujian kelaparan dan dahaga, baharulah kita dapat memahami kesengsaraan orang lain.  Selamat meneruskan amalan baik di bulan Ramadan ini.