Ramadan – elak membazir, tingkat amalan sedekah

Puasa Siti Nur Baiin Che Harun
Terkini oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Ramadan - elak membazir, tingkat amalan sedekah
Ramadan - elak membazir, tingkat amalan sedekah © Kertu Saarits | Dreamstime.com

Bulan Ramadan adalah bulan yang mendidik jiwa dan melatih diri untuk bersabar. Sifat sabar perlu dipraktikkan dalam pelbagai situasi dan keadaan. Tidak semestinya sabar dalam mengendalikan nafsu amarah sahaja.

Sabar juga perlu diamalkan dalam mengawal keinginan (selera) makan dan minum. Contohnya, sabar dalam menahan diri dari membeli makanan atau menyediakan juadah yang berlebihan untuk berbuka puasa. Benar, rasa lapar itu menguji kesabaran, tetapi ia jelas mampu meningkatkan ketakwaan terhadap Allah SWT.

Allah Taala berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas umat sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 183)

Ramadan dan mengelakkan daripada membazir

Dalam Islam, kita sangat dituntut untuk bersederhana atau bersikap wasatiyyah dalam kelansungan hidup lebih-lebih lagi semasa berbuka puasa. Elakkan melakukan pembaziran makanan yang melampau ketika di bulan Ramadan.

Bulan ini, bulan yang sepatutnya kita lebih berjimat-cermat dan muhasabah mengingati mereka yang lebih susah. Beli atau masak makanan mengikut kuantiti yang perlu sahaja.

Jangan jadikan bulan Ramadan bulan yang banyak melakukan pembaziran. Allah Taala sangat melaknat mereka yang suka membazir. Makanlah berpada-pada dan janganlah terlampau mengikut trend makanan yang viral di media sosial. Dari membazir, ada baiknya dikongsikan rezeki dengan orang yang lebih memerlukan.

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah Engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

(Surah al-Israa’, 17 ayat 26-27)

Jika sebelum ini, sebelum datangnya bulan Ramadan Kareem, seringkali kita mengaitkan amalan buruk yang dilakukan adalah disebabkan bisikan dan dorongan syaitan laknatullah. Akan tetapi, seperti yang dinyatakan dalam sepotong hadith mengenai syaitan dibelenggu pada bulan Ramadan.

Hadith daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 1899)

Tingkatkan amalan sedekah

Madrasah Ramadan sepatutnya menjadi bulan memperbanyakkan bersedekah. Amalan bersedekah hendaklah dipertingkatkan di kalangan masyarakat, khususnya umat Islam.

Ini kerana, dengan bersedekah mampu menyucikan harta. Selain daripada mendapat pahala, menghapuskan dosa, bersedekah juga akan menyebabkan rezeki bertambah berlipat kali ganda.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah, kecuali bertambah, bertambah dan bertambah.”

Selain itu, dengan bersedekah juga dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hidupkan keberkahan sunnah bersedekah dikalangan anak-anak. Ia dapat menjauhkan diri dari bersifat kedekut. Beri dorongan dan contoh yang baik kepada anak-anak supaya mereka suka berkongsi rezeki sesama makhluk.

Amalan ini mampu meraih keberkatan malah memberi ketenganan jiwa mereka yang bersedekah. Sesungguhnya bersedekah tidak akan membuatkan seseorang itu miskin atau berkurang hartanya.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.