Ramadan, madrasah pertingkat amalan

Acara Zalika Adam
Pendapat oleh Zalika Adam
Ramadan, madrasah pertingkat amalan
Ramadan, madrasah pertingkat amalan © Anugrah Ambia | Dreamstime.com

Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan keampunan. Bulan sebelumya adalah Rejab dan Syaaban sudah melatih kita membuat persediaan menyambut Ramadan yang dimuliakan.

Bulan yang tiada tandingan dengan bulan-bulan Islam yang lain, padanya diturunkan ‘Lailatul Qadar.’ Ramadan adalah bulan yang umpama madrasah, di mana amalan kita boleh dipertingkatkan dengan mudah dan lancar di suatu tempat, insya-Allah.

Ramadan, madrasah pertingkat amalan

Terdapat tatacara yang perlu diikuti sepanjang bulan Ramadan. antaranya ialah:

Pertama: Berbuka Puasa

Antara amalan sunat ketika berbuka puasa ialah dengan mendahukukan minum susu dan kurma (tamar). Diikuti dengan solat maghrib dan menyambung makan sekiranya perlu.

Kelebihan mendahulukan kedua-dua perkara tersebut ialah dapat memberikan kesegaran ketika berbuka puasa dan bersegera menunaikan solat Maghrib. Kita menjadikan puasa di bulan Ramadan sebagai amalan untuk berpuasa sunat selepasnya seperti puasa enam di bulan Syawal dan puasa pada hari Isnin dan Khamis.

Kedua: Solat Tarawikh

Solat Tarawikh adalah amalan pada bulan Ramadan sahaja. Maka kita digalakkan untuk mengerjakan solat Tarawikh secara  berjemaah di masjid atau di surau.

Bilangan rakaat boleh dilaksanakan sebanyak 8, 12 atau 20 rakaat dan diikuti dengan solat witir. Namun, boleh juga dikerjakan secara berjemaah atau berseorangan di rumah.

Ketiga: Berqiamullail

Qiamullail iaitu bangun malam untuk beribadah kepada Allah SWT adalah digalakkan sepanjang bulan Ramadan. Bagi yang belum menjadikan qiamullail sebagai amalan, bolehlah memulakannya pada bulan yang berkat ini.

Seterusnya menjadikannya amalan setiap hari. Bangun malam dengan menunaikan solat tahajjud, solat sunat taubat, solat hajat dan membaca al-Quran.

Keempat: Bersahur

Waktu bersahur ialah sebelum masuknya waktu subuh. Mengambil makanan sahur tidak teralu berat, memadai dengan susu dan tamar. Bersahur disunatkan agar kita mendapat tenaga ketika bekerja di siang hari.

Kelima: Bertadabbur al-Quran

Banyak kumpulan tadarrus al-Quran diadakan sepanjang bulan Ramadan. Namun, al-Quran bukan sahaja untuk dibaca, bahkan ditadabbur dan difahami maknanya.

Memahami isi kandungan al-Quran lebih bermanfaat daripada hanya sekadar membacanya. Boleh memulakan tadabbur dan mengambil pengajaran daripada surah-surah pendek terlebih dahulu, diikuti dengan surah-surah panjang. Seterusnya, dilanjutkan selepas Ramadan.

Keenam: Bersedekah

Bersedekah adalah amalan yang digalakkan di dalam Islam. Mereka yang bersedekah di bulan yang mulia ini mendapat pahala yang berlipat ganda. Bersedekah berbentuk wang ringgit, makanan, pakain dan bahan bacaan boleh diberikan di Pusat-pusat Tahfiz, Rumah Orang-orang Tua, Rumah anak-anak Yatim dan mereka yang memerlukan.

Oleh itu, kita digalakkan agar mengerjakan amalan-amalan sunat yang dapat menambahkan pahala kita terutama di bulan Ramadan. Setiap amalan yang dikerjakan sebagai madrasah agar dapat dilanjutkan selepasnya.