Ramadan: Romantika antara golongan kaya dan miskin

Puasa 03 Mei 2021 Tari Basir
Pilihan oleh Tari Basir
Ramadan: Romantika antara golongan kaya dan miskin
Ramadan: Romantika antara golongan kaya dan miskin © Sviatlana Yankouskaya | Dreamstime.com

Kemiskinan bukanlah pilihan yang mahu diraih oleh semua orang. Sekiranya semua orang mempunyai bukan sahaja kuasa untuk memilih bahkan mampu mengubah takdir, sudah tentu dunia akan dipenuhi oleh orang kaya.

Namun, kemiskinan kadangkala datang tanpa pilihan bahkan juga diwarisi. Kadangkala, seseorang yang miskin itu lebih kuat membanting tulang empat keratnya berbanding si kaya yang merehatkan tulang belulangnya di atas sofa empuk di pejabat berhawa dingin.

Kerana itulah, seharusnya semua orang apatah lagi golongan kaya jangan sesekali memandang hina kepada golongan miskin. Jauh sekali menohmah mereka bahawa mereka malas bekerja dan tidak malu meminta sedekah sahaja.

Jurang antara kaya dan miskin

Sehingga hari ini, jurang antara golongan kaya dan miskin tidak terlihat dekatnya. Bahkan, dengar kehadiran kapitalisme, riba’, pilih kasih atau ‘double standard’ dalam apa jua keadaan, hanya menjauhkan lagi jurang yang sedia jauh.

Islam menyedari bahawa kemiskinan bukanlah pilihan bahkan kadangkala diwarisi dan datang tiba-tiba. Bahkan, Islam juga melihat jurang kesenangan yang ada hanya akan merenggangkan lagi hubungan antara golongan kaya dan miskin.

Si kaya menohmah si miskin dengan kemalasan yang disengajakan. Si miskin pula iri hati dengan kekayaan si kaya yang hadir, namun tidak dikongsi walaupun hartanya tidak akan habis dinikmati walaupun setelah sepuluh keturunan.

Kerana itulah Islam mensyariatkan ibadah zakat dan sedekah, serta mengharamkan riba’ dan segala jenis perkara yang adanya penindasan. Sudah tentu, golongan miskin yang akan ditindas teruk kerana tidak berharta apatah lagi bergaya. Apatah lagi jika yang menindas golongan miskin ialah golongan kaya yang berharta dan bergaya.

Ramadan, hadirnya kecintaan orang kaya terhadap orang miskin

Seorang jutawan dan golongan kaya yang benar-benar Muslim mengetahui bahawa dermawan itu merupakan salah satu sifat Allah SWT, berdasarkan hadis yang diriwayatkan Al-Baihaqi:

“Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.”

Malah, dirinya mencuba sedaya upaya mengikuti sunnah Rasulullah SAW yang menjadi lebih dermawan acap kali apabila bulan Ramadan tiba, seperti hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari:

“Rasulullah SAW ialah orang yang paling dermawan. Dan Baginda lebih dermawan lagi di bulan Ramadan saat bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Quran. Dan kedermawanan Rasulullah melebihi angin yang berhembus.”

Kerana itulah, dirinya akan berusaha menginfaq dan bersedekah kepada golongan miskin dengan lebih banyak dalam bulan Ramadan, berbanding bulan-bulan biasa. Dirinya menyedari bahawa kekayaan yang dikecapi itu ialah rezeki yang diberi Allah SWT, dan dalamnya juga ada rezeki orang lain.

Firman Allah Taala dalam Surah Saba, ayat ke-39 yang bermaksud:

“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”

Hikmah berpuasa sebagai merasai kelaparan orang miskin

Hikmah berpuasa antaranya berpeluang merasai kelaparan orang miskin. Bagi orang kaya yang setiap hari mejanya dipenuhi beraneka hidangan yang lazat, berpuasa di bulan Ramadanlah peluang untuk dirinya merasai bagaimana kosongnya setiap hari meja orang miskin.

Lalu, bagaimanakah puasa seorang Muslim kaya jika dirinya sekadar berpuasa namun menindas orang miskin? Sudahlah hikmah berpuasa itu tidak dirasai, malah dirinya hanya sekadar kaya di dunia. Namun muflis di akhirat.