Ramai yang tidak tahu, ini hukum Sahur awal malam di bulan Ramadan

Puasa Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Ramai yang tidak tahu, ini hukum Sahur awal malam di bulan Ramadan
Ramai yang tidak tahu, ini hukum Sahur awal malam di bulan Ramadan © Odua | Dreamstime.com

Ada yang bertanya, bolehkah jika kita bersahur pada awal malam sebelum tidur dan tidak bangun sahur? Apakah hukum sahur awal yang sebenarnya?

Ini yang anda kena tahu.

Trend makan sahur awal

Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka yang masih bujang atau pelajar-pelajar sekolah dan mahasiswa untuk sahur awal. Kebanyakan daripada mereka yang masih bujang ini terlalu malas untuk bangun awal pagi bersahur memandangkan mereka hanya bersahur berseorangan.

Oleh itu, ramai yang mengamalkan tabiat sahur awal malam sebelum tidur agar tidak perlu bangun awal pagi. Bagi mereka yang sudah berkeluarga, hal seperti ini amat jarang terjadi kerana suasana sahur beramai-ramai itu menjadikan bersahur itu sesuatu yang menarik.

Adakah amalan seperti ini juga dikira sebagai bersahur dan apakah hukum sahur awal ini?

Bilakah waktu sahur yang sepatutnya?

Imam Nawawi ada menyatakan mengenai waktu bersahur dalam kitabnya Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab. Menurut Imam Nawawi, waktu sahur itu ialah waktu antara pertengahan malam dan sebelum terbitnya fajar matahari keesokan hari.

Pandangan ini juga dinyatakan oleh beberapa ulama’ lain seperti Imam Al-Syirbini dan Imam Al-Rafi’e. Ada juga pandangan ulama fiqh yang lain menyatakan bahawa waktu sahur itu ialah pada seperenam akhir waktu malam.

Dr. Muhammad Zuhaili menyatakan pendapat yang sama mengenai waktu sahur ini Beliau juga menyatakan bahawa seseorang itu tetap dikira bersahur tidak kira makan dengan jumlah yang banyak atau sedikit, hatta dengan hanya meminum segelas air.

Ini hukum sahur awal yang ramai tidak tahu

Daripada sudut hukum pula, sesorang itu tidak dianggap bersahur jika dia makan pada awal malam. Amalan tersebut tidak dianggap sebagai amalan bersahur walaupun dia berniat sahur.

Pahala sahur juga tidak akan diperoleh memandangkan ia bukanlah dikira dalam waktu sahur. Waktu sahur dikira bermula pada pertengahan malam sehingga sebelum terbit fajar matahari sahaja. Oleh kerana itu, amalan makan awal malam ini tidak dikira sebagai bersahur.

Untuk mendapat pahala bersahur, ia bukanlah bergantung kepada jenis atau jumlah makanan, namun ia ditentukan berdasarkan pada waktu sahur seperti yang sepatutnya. Syeikh Ibrahim Al-Baijuri juga menyatakan, seseorang itu tidak akan mendapat pahala berpuasa sekiranya dia bersahur sebelum sampai waktu pertengahan malam.

Ikutlah waktu yang tepat untuk mendapat pahala sahur

Amalan makan sahur awal ini bukanlah satu amalan yang boleh dikira sebagai bersahur walaupun kita berniat sebegitu. Tambahan pula, Rasulullah ada menyatakan bahawa disunatkan untuk melambat-lambatkan makan sahur.

Ini menunjukkan bahawa, waktu sahur yang paling afdal ialah sebelum terbitnya fajar matahari, bukannya pada awal malam seperti selepas solat Tarawih. Bangunlah bersahur walaupun sekadar memakan kurma dan meminum segelas air untuk memperoleh pahala sahur. Ketahuilah bahawa pada amalan sahur itu ada keberkatannya.

Sebarkan ilmu mengenai hukum sahur awal ini kepada ahli keluarga dan rakan-rakan anda agar kita sama-sama dapat memperbetulkan kembali amalan soleh kita.