Ramai yang tidak tahu tanda-tanda penyakit Asid Refluks

Kesihatan Fizikal 21 Mac 2021 Md Wa'iz
Md Wa'iz
Ramai yang tidak tahu tanda-tanda penyakit Asid Refluks
Ramai yang tidak tahu tanda-tanda penyakit Asid Refluks © motortion | Dreamstime.com

Ramai yang mengalami tanda-tanda asid refluks, namun tidak menyedari bahawa ia adalah penyakit Asid Refluks. Apakah penyakit asid refluks dan apakah tanda-tandanya?

Ikuti penjelasan di bawah ini.

Kenali penyakit Refluks Gastroesophageal

Penyakit asid refluks lebih dikenali secara khusus sebagai penyakit Refluks Gastroesophageal, atau ringkasnya GERD.

Penyakit GERD ini berlaku apabila asid perut anda kerap mengalir semula ke dalam saluran atau tiub esofagus. Tiub esofagus ini adalah tiub yang menghubungkan antara bahagian mulut dengan perut kita.

Penyakit asid refluks ini boleh merengsakan dinding tiub esofagus. Ia adalah satu keadaan yang biasa berlaku. Kadar normal ia berlaku ialah sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu.

Ini tanda-tanda jika anda alami penyakit GERD

Berikut adalah beberapa tanda atau simptom untuk mengetahui sekiranya anda mengalami GERD:

  • Rasa sakit pada bahagian dada
  • Rasa seperti terbakar pada bahagian dada atau lebih dikenali sebagai ‘pedih ulu hati’. Ia lebih kerap berlaku selepas waktu makan atau sewaktu anda tidur
  • Kenaikan semula makanan atau cecair masam daripada perut ke bahagian tekak atau mulut
  • Berasa sukar untuk menelan
  • Berasa seperti adanya ketulan pada bahagian tekak

Sekiranya penyakit asid refluks ini berlaku pada waktu malam, ia akan menunjukkan tanda-tanda seperti berikut:

  • Kerap mengalami batuk
  • Suara menjadi lemah atau menghilang (laringitis)
  • Serangan asma yang semakin teruk
  • Mengalami gangguan tidur

Kaedah rawatan yang boleh merawat penyakit ini

Biasanya, kaedah rawatan yang digunakan untuk merawat penyakit ini adalah dengan menggunakan ubat pedih ulu hati. Ubat bagi merawat pedih ulu hati ini boleh didapati di farmasi yang berdekatan dengan anda.

Namun, sekiranya simptom yang anda alami itu lebih teruk sehingga merisaukan anda, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan kepastian yang lebih tepat.

Cara untuk kurangkan kekerapan berlaku penyakit GERD 

Berikut adalah beberapa langkah untuk mengurangkan risiko anda mendapat penyakit GERD. Antaranya ialah:

  • Berhenti merokok dengan segera
  • Jaga berat badan anda. Kurangkan berat badan anda kerana berat badan yang berlebihan akan menyebabkan anda lebih mudah untuk mendapat asid refluks
  • Tinggikan bahagian kepala sewaktu tidur agar asid perut tidak mudah masuk ke tiub esofagus dan seterusnya naik ke tekak
  • Elakkan berbaring atau tidur selepas makan
  • Elakkan daripada memakai pakaian yang ketat
  • Makan secara perlahan-lahan dan kunyah makanan dengan baik
  • Elakkan makanan yang boleh menyebabkan asid refluks seperti kopi, sos tomato dan coklat

Jika anda mengalami sebarang simptom seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, berjumpalah dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan.

Namun, anda tidak perlu risau kerana penyakit asid refluks ini biasa berlaku, dan hanya perlu dilihat daripada segi tahap ia berlaku.