Rasul-rasul Ulul Azmi

Kepercayaan Abi Aasim 04-Jun-2020
Makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi, Madinah © Hikrcn | Dreamstime.com

Kepercayaan kepada Nabi dan Rasul merupakan salah satu perkara yang terkandung di dalam rukun Islam. Terdapat 25 Rasul yang telah mendapat wahyu daripada Allah SWT dan dikehendaki menyampaikan apa yang dipelajari kepada kaumnya. Nabi Adam adalah permulaan Nabi dan Rasul. Manakala Nabi Mumamad SAW merupakan Nabi dan Rasul yang terakhir buat umat manusia.

Di antara 25 Rasul, terdapat lima orang Rasul yang mempunyai gelaran Ulul Azmi. Ulul Azmi adalah gelaran yang diberikan kepada Nabi dan Rasul Allah SWT yang diuji dengan ujian yang luar biasa serta memiliki ketabahan yang sangat tinggi dalam menyampaikan ajaran Allah kepada kaumnya.

Sebab-sebab para Rasul diberikan gelaran Ulul Azmi ialah:

  • Mendapat pengiktirafan Allah SWT
  • Memiliki kesabaran yang tinggi semasa berdakwah
  • Sentiasa memohon kepada Allah SWT supaya kaum mereka tidak diturunkan azab
  • Sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya memberi hidayah kepada kaum mereka
  • Memiliki keazaman yang tinggi semasa berdakwah

Berikut adalah lima orang Rasul Ulul Azmi:

  1. Nabi Muhammad SAW
  2. Nabi Ibrahim a.s.
  3. Nabi Nuh a.s.
  4. Nabi Musa a.s.
  5. Nabi Isa a.s.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahqaaf, ayat 35: “(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-Rasul ‘Ulil-Azmi’ (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-Rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu).

Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik – derhaka.”

Keimanan kepada ang Maha Pencipta Sekalian Makhluk (Al-Khaliq) bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi. Sebagai contoh, Nabi Ibrahim a.s. walaupun setiap hari berdoa dan berusaha, gagal mengajak ayahnya mengikut ajaran Allah SWT. Malah, ayah Baginda juga merupakan salah seorang penentangnya yang paling hebat.

Begitu juga dengan Nabi Nuh a.s., di kalangan anak dan isterinya sendiri tidak mahu mentaati dan mengikuti ajaran yang disampaikan oleh Baginda.

Perjalanan dan kisah hidup para Rasul Ulul Azmi ini perlu dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita sebagai seorang Muslim. Kesabaran para Rasul menyampaikan ajaran Allah SWT walaupun ditentang hebat keluarga sendiri dan orang terdekat membuktikan ketabahan Rasul-Rasul ini menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!