‘Raya COVID’ tak lunturkan semangat kemenangan umat Islam

Acara Siti Suriani Othman
Pendapat oleh Siti Suriani Othman
'Raya COVID' tak lunturkan semangat kemenangan umat Islam
'Raya COVID' tak lunturkan semangat kemenangan umat Islam © Aisyaqilumar | Dreamstime.com

‘Raya COVID’ tak lunturkan semangat kemenangan umat Islam – begitu perasaan penulis menjelang akhir Ramadan. Semangat positif  dalam meraikan Syawal dan Hari Raya Aidil Fitri beberapa hari lagi dilihat begitu penting pada tahun ini.

Artikel ini akan membincangkan kekuatan jiwa umat Islam dalam menghadapi sambutan Hari Raya tahun 2021 dengan ancaman pandemik COVID-19.

Pelbagai pengalaman berhari raya

Pengalaman seseorang menyambut Hari Raya pastinya unik, tidak sama. Hampir setiap tahun Aidilfitri disambut bukan hanya dengan kegembiraannya yang tersendiri, malah pengalaman yang berbeza, walaupun mungkin rutin dan kesibukannya adalah hampir sama.

Bagi diri saya, pengalaman beraya telah dilalui dalam beberapa fasa kehidupan yang berbeza-beza. Beraya di zaman kanak-kanak pastinya lebih memikirkan keseronokan. Bermain bunga api serta mengira duit raya adalah agenda utama.

Beraya di zaman dewasa pula memberi pengalaman beraya di perantauan. Empat tahun beraya di England, United Kingdom (UK) memberi pengalaman yang berharga, tidak sama dan sentiasa dalam peti kenangan selamanya.

Tahun lepas, kita semua diberikan satu pengalaman beraya yang tidak mahu tidak, harus diterima. ‘Beraya COVID-19’ tidak pernah diundang. Namun, itulah dugaan yang harus kita hadapi dalam meraikan sebarang perayaan, tidak terkecuali dalam kalangan umat Islam.

Aidilfitri hari kemenangan umat Islam

Dalam kalangan umat Islam, Aidilfitri adalah hari kemenangan dan dapatlah kita bergembira dengan kurniaan Allah Taala ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Dalam pada itu, sungguhpun umat Islam bergembira pada Hari Raya, kita perlu sentiasa mengingati diri supaya terus istiqamah mengingati Allah SWT. Ada amalan-amalan yang boleh diamalkan pada Hari Raya yang memanfaatkan diri dan semua.

Antaranya ialah bermaaf-maafan sesama ahli keluarga dan sahabat handai serta ziarah-menziarahi pada hari kemenangan ini. Di samping itu, lidah dan hati kekal bertakbir, bertahmid dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. Pakailah pakaian yang terindah dan berwangi-wangian ketika Hari Raya.

‘Raya COVID-19’ tetap tingkatkan takwa

Nampaknya, tiada bezanya beraya dalam suasana normal baharu atau tidak. Secara fizikalnya mungkin nampak kurang meriah kerana kekangan aktiviti ziarah-menziarahi.

Namun, dari segi konsep dan amalannya, Aidilfitri tetap hari kemenangan umat Islam yang sentiasa ditunggu-tunggu. Ini bukan hanya dari aspek kemeriahannya tetapi dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah Taala.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.